KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat dijangka berlangsung dalam suasana tegang hari ini apabila usul untuk menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selama enam bulan dijadualkan dibawa oleh Menteri Dalam Negeri.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan di portal rasmi Parlimen, usul tersebut dijangka dibentangkan sejurus selesai sesi jawab lisan pagi ini.
Usul berkenaan merujuk kepada ucapan Takiyuddin semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di peringkat dasar pada 22 Oktober lalu, di mana beliau menyentuh insiden membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila, Marang. Ucapannya yang turut mengaitkan insiden tersebut dengan peristiwa Memali pada 1985 didakwa memberi gambaran negatif terhadap imej APMM sebagai agensi kerajaan.
Selain isu itu, sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri hari ini turut memuatkan beberapa soalan berkaitan dasar besar negara. Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) meminta penjelasan daripada Menteri Belia dan Sukan berhubung jenis bantuan yang bakal diberikan kepada individu yang tidak lagi berada dalam kategori belia apabila pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2019 berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Turut dibangkitkan ialah soalan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN–Kubang Pasu) mengenai perkembangan Dasar Gaji Progresif (DGP), yang telah mula dilaksanakan awal 2025 dengan peruntukan RM200 juta bagi tahun pertama.
Di samping itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN–Kuala Krai) meminta Kementerian berkaitan menjelaskan jumlah pendeposit Tabung Haji yang menolak tawaran haji antara 2015 hingga 2025, serta langkah memastikan kuota haji digunakan sepenuhnya setiap tahun.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 yang bermula 6 Oktober lalu memasuki hari terakhir selepas berlangsung selama 35 hari.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001