SHAH ALAM – Pilihan Raya Negeri (PRN Sabah) ke-17 jelas bukan sekadar medan pertandingan biasa, malah menjadi pentas yang memperlihatkan perubahan besar dalam selera politik rakyat, apabila sejumlah nama berprofil tinggi iaitu dari bekas menteri, presiden parti, tokoh veteran hingga selebriti, tumbang di tangan pesaing masing-masing.
Dalam PRN yang menyaksikan 596 calon bertanding bagi 73 kerusi, keputusan kali ini memberi isyarat, pengundi tidak lagi memberi laluan mudah kepada tokoh ternama.
Sebaliknya, mereka dilihat lebih berani membuat pilihan berdasarkan isu setempat, prestasi calon dan sentimen semasa yang semakin sukar diramal.
Antara mereka yang tewas ialah Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin (PH), kalah di DUN Tanjung Aru; Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin (BN), tumbang di Bogawan; Presiden PCS, Tan Sri Anifah Aman (PCS), tewas di Sook.
Manakala Pengerusi PN Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee (PN) kecundang di Sugut; bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia (GRS) gagal di Pintasan; artis legenda Sabah, Abu Bakar Ellah (KDM) kalah di Kuamut; Presiden KDM, Priscella Peter (KDM) tewas di Melalap; Presiden PIS, Michel Alok @ Ilok (PIS) tumpas di Telupid; Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe (DAP) hilang kubu di Likas; dan Presiden Parti Rumpun, Datuk Dr. Ismail Idris (Rumpun) kalah di Sebatik.
Turut mengalami nasib malang, bekas Menteri Pelancongan, Datuk Mohamaddin Ketapi (Bebas) kecundang di Segama; anak kepada Tun Musa Aman, Datuk Yamani Hafez (PH) tewas di Sindumin; bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak (BN) tumbang di Usukan; dan Naib Presiden Warisan, Terence Siambun (Warisan) gagal di DUN Moyog.
Kekalahan ramai pemimpin kanan menunjukkan pengundi tidak lagi mudah dipengaruhi faktor “keterkenalan”, jawatan atau latar belakang politik keluarga.
Pengundi Sabah sering dilihat praktikal, mereka menilai siapa yang benar-benar membantu komuniti mereka, bukan sekadar hadir pada musim kempen.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dengan hampir 600 calon dalam perebutan 73 kerusi, fenomena pecah undi menjadi antara punca utama banyak tokoh besar kecundang dan di beberapa kawasan, saingan empat hingga tujuh penjuru menyebabkan undi tradisi parti tertentu tidak lagi solid.
PRN kali ini memperlihatkan populariti semakin meningkat terhadap parti tempatan atau calon baharu yang membawa naratif lebih dekat dengan realiti Sabah, bahkan trend ini sudah mula kelihatan sejak PRN terdahulu, tetapi menjadi lebih ketara kali ini.
Pengundi kini dilihat semakin tegas menghukum wakil rakyat yang dianggap tidak memberi sumbangan signifikan, walaupun mereka memegang jawatan menteri atau timbalan menteri.
Bagi pemerhati politik, keputusan ini bukan sekadar senarai siapa menang atau kalah, ia merupakan petunjuk bahawa medan politik Sabah kembali berada dalam fasa perubahan.
Pengundi Sabah terkenal dengan corak undian yang tidak terikat secara dogmatik kepada satu parti untuk jangka masa panjang. Mereka sering berubah mengikut isu semasa, kepimpinan setempat dan realiti harian seperti ekonomi, infrastruktur serta pembangunan asas.
Kekalahan bertali-arus tokoh besar ini boleh dianggap sebagai “wake-up call” kepada mana-mana parti yang berhasrat bertapak lebih kukuh di Sabah, iaitu dengan kata lain, mandat rakyat bukan sesuatu yang diwarisi, tetapi perlu diraih setiap kali pilihan raya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
