TAWAU – Seramai 9,800 anggota dari pelbagai agensi kerajaan bersama kira-kira 7,000 aset operasi telah diatur gerak di seluruh negara bagi menghadapi kemungkinan bencana banjir susulan cuaca tidak menentu ketika ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan turut menyediakan jambatan panel keluli bermodular atau jambatan bailey sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku situasi jalan terputus akibat banjir.
“Jika ditakdirkan ada jalan putus, kerajaan menyediakan tujuh jambatan bailey di Semenanjung, tiga di Sabah dan empat di Sarawak. Kita juga sedang memobilisasikan jambatan bailey ini dengan menambah jumlahnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Eksplorasi TVET Komuniti di Kolej Komuniti Tawau hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, turut memaklumkan, sebanyak 9,058 pusat pemindahan sementara (PPS) disediakan di seluruh negara dengan kapasiti menampung sehingga 2.189 juta mangsa.
Beliau berkata, cuaca luar biasa di beberapa negara serantau perlu diberi perhatian.
“Vietnam dan Filipina mengalami luruan hujan luar biasa. Di Malaysia, kawasan yang sebelum ini jarang atau tidak pernah banjir kini turut terjejas, termasuk Bagan Datuk. Empat PPS dibuka di sana. Rumah dan kampung saya juga dinaiki air,” katanya.
Beliau turut mengarahkan semua agensi berkaitan memperkukuh kesiapsiagaan memandangkan 188 PPS telah dibuka setakat ini dengan menempatkan kira-kira 22,000 mangsa banjir.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menasihatkan 1.7 juta pengundi di Sabah keluar mengundi awal pagi Sabtu ini bagi mengelakkan gangguan cuaca.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah memaklumkan, dua kejadian cerun runtuh berlaku pagi ini di Jalan Bukit Bendera Upper, Kota Kinabalu, masing-masing di KM0.850 berhampiran Bayshore Condominium dan KM2.550, susulan hujan lebat berterusan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001