KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes serangan terhadap wartawan sukan yang juga Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Haresh Deol di Bangsar semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 37 tahun itu ditahan di rumahnya di Cheras oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields pada kira-kira jam 2 pagi tadi.
“Permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama tiga hari sehingga Jumaat ini oleh Majistret Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.
Hoo berkata, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk usaha mengenal pasti motif sebenar serangan berkenaan.
Semalam, beliau memaklumkan, polis sedang mengesan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian itu, yang mengakibatkan Haresh cedera di muka, tangan dan badan selepas terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri.
Haresh, yang juga pengasas bersama portal TwentyTwo13, membuat laporan polis pada jam 4 petang hari kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi ASP Mohd Adnan Alias di talian 019-216 2272; Hotline Polis Daerah Brickfields 03-2297 9222; Hotline Polis Kontinjen Kuala Lumpur 03-2115 9999; atau hadir ke balai polis berhampiran.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001