WASHINGTON – Rakaman terbaharu Rumah Putih menunjukkan Cristiano Ronaldo dan tunangnya Georgina Rodriguez tidak dapat menahan gelak ketika berjalan bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada satu majlis rasmi.
Ronaldo hadir ke Washington bagi menghadiri jamuan presiden susulan pertemuan diplomatik bersejarah antara AS dan Arab Saudi.
Bintang Portugal berusia 40 tahun itu tampil segak dalam tuxedo hitam dan duduk sebaris bersama tokoh global termasuk Elon Musk serta Naib Presiden AS, JD Vance.
Satu swafoto yang tular turut menunjukkan Ronaldo bergambar bersama Musk dan Presiden FIFA, Gianni Infantino di dalam Rumah Putih.
Trump turut mengusik suasana majlis apabila memuji Ronaldo di hadapan tetamu, sambil mendedahkan anaknya, Barron adalah peminat tegar bintang Portugal itu.
“Anak saya peminat tegar Ronaldo… Barron akhirnya dapat bertemu dengannya dan saya rasa dia kini lebih menghormati ayahnya hanya kerana saya memperkenalkan anda berdua,” kata Trump sambil disambut gelak tetamu.
Ronaldo sebelum ini dilaporkan hadir sebagai sebahagian delegasi rasmi Putera Mahkota Arab Saudi, Muhammed bin Salman namun sebenarnya tiba di Washington secara berasingan daripada rombongan Arab Saudi.
Sejak berpindah ke Al-Nassr pada 2023, Ronaldo sering memuji Muhammed bin Salman, bahkan menggelarnya sebagai “bos” kerana usaha Putera Mahkota itu melonjakkan status bola sepak Saudi.Dalam satu temu bual bersama Piers Morgan awal bulan ini, Ronaldo turut menzahirkan hasrat bertemu Trump secara peribadi, menyifatkan Presiden AS itu sebagai “pemimpin yang mampu mengubah dunia”.
Pemain berpengalaman itu turut menyatakan kesediaannya untuk bertemu Trump “di mana sahaja sama ada di AS atau Arab Saudi”.
Awal tahun ini juga, Trump menerima jersi Portugal yang ditandatangani Ronaldo dengan mesej: “Kepada Presiden Donald J Trump, Bermain Demi Keamanan.”
Turut menjadi tumpuan adalah kemunculan semula Ronaldo di AS – kali pertama sejak 2016 – menjelang Piala Dunia 2026 di AS, Kanada dan Mexico.
Portugal sudah melayakkan diri ke pusingan akhir, walaupun Ronaldo menerima kad merah ketika menentang Republik Ireland minggu lalu.
Ronaldo tidak beraksi di bumi AS sejak 2014 ketika mewakili Real Madrid menentang Manchester United di Michigan di hadapan lebih 109,000 penonton.
Kali terakhir dia dirakam berada di AS adalah pada 2016 selepas kejayaan Portugal memenangi Euro.
Kehadirannya di Rumah Putih kali ini menandakan kepulangannya ke bumi AS selepas hampir satu dekad dan terus menarik perhatian dunia bola sepak. – Agensi
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
