AIZO, K2 Bitumen teroka kerjasama bangunkan fasiliti bitumen di Sarawak

KUALA LUMPUR – AIZO Group Berhad (AIZO) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan K2 Bitumen Sdn. Bhd. (K2 Bitumen) untuk meneroka kerjasama strategik bagi penubuhan Kemudahan Bitumen Hijau di Sarawak.

AIZO menerusi anak syarikat milik penuhnya, AIZO Manufacturing International Sdn Bhd (AMI) berkata, kerjasama ini akan memanfaatkan kehadiran AMI yang mantap dalam produk bitumen di samping kepakaran teknikal K2 Bitumen dalam teknologi bitumen serbuk getah diubahsuai (CRMB) yang menggunakan getah kitar semula daripada tayar terpakai dan bahan buangan getah lain.

Kedua-dua syarikat berhasrat untuk bersama-sama membangunkan penyelesaian berasaskan inovasi yang menyokong usaha Malaysia ke arah infrastruktur yang lebih hijau, terutamanya di Malaysia Timur di mana pembangunan jalan raya dan perindustrian berskala besar sedang dijalankan.

MoU itu juga merangkumi peruntukan untuk perkongsian teknologi, pertukaran pengetahuan dan inisiatif bersama yang tertumpu pada pembangunan infrastruktur yang mampan.

Pengarah Eksekuti AIZO, Ahmad Rahizal Ahmad Rasidi berkata, potensi kerjasama dengan K2 Bitumen menandakan langkah penting dalam strategi AIZO yang lebih luas untuk berkembang menjadi penyelesaian bitumen yang mampan dan bernilai lebih tinggi.

“CRMB semakin dikenali kerana ketahanan, kebolehkitaran semula dan manfaat alam sekitar, selaras dengan objektif negara untuk mempromosikan bahan binaan yang lebih mesra alam.

“Inisiatif ini bukan sahaja mengukuhkan keupayaan produk bitumen kami tetapi juga meletakkan AIZO di barisan hadapan pembangunan ESG di Sarawak dan di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, dengan memperkenalkan penyelesaian bitumen yang mampan dan memajukan penggunaan bahan getah kitar semula, kerjasama ini secara langsung menyokong usaha berterusan negeri untuk menggalakkan kaedah pembinaan rendah karbon, mengembangkan aktiviti pembuatan hijau dan memperkukuh amalan ekonomi kitaran.

Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen AIZO yang lebih luas untuk menyokong visi Kerajaan Negeri Sarawak untuk membangunkan ekonomi bersih, hijau dan kitaran.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *