Fadhlina Siddiq di mata Khair Ngadiron

Antara Srikandi dan Tuan Guru

KESEMPATAN menemubual mantan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), MOHD KHAIR NGADIRON merupakan detik terbaik buat Pengarang Nasional Daily, RUDY SHAM ABDUL RAOF untuk mengetahui secara mendalam pemilik nama sebenar Fadhlina Siddiq yang kini bergelar Yang Berhormat dan Menteri Pendidikan, khususnya dalam kepentingan peribadi, masyarakat dan politik negara.

Tidak boleh disangkal nama Fadhlina anak kesayangan kepada Allahyarham Prof. Datuk Dr. Siddiq Fadzil sentiasa bermain di bibir masyarakat, terutama pendidik dan ahli politik negara sama ada yang berfikiran positif atau sebaliknya.

Namun, bagi Mohd Khair yang digelar Tuan Guru oleh Fadhlina sentiasa mengingati kata-kata hikmah Dr. Siddiq kepada Dekan Pusat Matrikulasi UIAM ketika mendaftarkan anak kesayangannya itu di universiti berkenaan pada Ogos 1998; “Jadikan anak saya manusia yang memberi manfaat kepada orang lain,” pesan Dr. Siddiq.

Lebih diingati Mohd Khair, kata-kata Fadhlina sememangnya menusuk kalbu apabila kamus dirinya berpegang kepada kata-kata yang diucapkan pada Jun 2022; “Apa sahaja ruang dan peluang yang ada untuk saya manfaatkan orang lain, akan saya terima takdirnya dan saya laksanakan sehabis baik”. Baginya biarlah proses itu panjang, tetapi berbaloi dalam perjuangan.

MENYINGKAP awal pertemuan Mohd Khair dengan Fadhlina seharusnya sudah wujud suasana keikhlasan seorang guru yang mahukan anak didiknya berada di landasan tepat sebaik sahaja mengharungi liku-liku kedewasaan sehingga menjengahkan diri di alam kerjaya.

Menurut Mohd Khair, beliau mengenali Fadhlina sekitar pertengahan 1990-an ketika beliau menduduki kerusi Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar di Pusat Matrikulasi UIAM.

“Ketika itu ada satu program dikenali sebagai Minggu Taaruf (Orientasi) dan di situlah saya mengenali Fadhlina yang dilantik sebagai Ketua Jawatankuasa Taaruf bagi pelajar perempuan, saya terpegun melihat anak muda ini yang begitu idealistik, berpontensi dan aktif.

“Sebenarnya, saya mengenali bapanya Dr. Siddiq (Allahyarham), tetapi waktu itu saya kenali Fadhlina sebagai pemimpin pelajar. Saya mengikuti perkembangannya ketika beliau mula bekerja, bertugas sebagai peguam kemudiannya menjadi aktivis dan Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

“Saya banyak mengikuti kisah beliau di Facebook (FB) dan melihat bagaimana beliau berinteraksi dengan pelbagai golongan seperti ibu tunggal, masyarakat Orang Asli. Malah, sentiasa mengusiknya di FB.

Mohd Khair berkata, beliau sentiasa memberi semangat supaya Fadhlina meneruskan kerja hakikinya, biarpun ketika itu bertukar kerjaya di Insitust Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Menurutnya, beliau juga sering membantu serba sedikit keperluan dalam bentuk kewangan secara peribadi kepada Fadhlina untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

“Apa yang teruja dengan Fadhlina, jika saya mahu salurkan bantuan seperti minta nombor akaun, beliau tidak pernah memberikan akaun peribadi, sebaliknya memberi nombor akaun bank badan pertubuhan yang disertainya.

“Saya lihat cara Fadhlina (sejak muda) mempunyai sifat integriti yang tinggi dengan memastikan semua sumbangan yang diberikan itu disalurkan kepada pihak yang memerlukan menerusi Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bukan peribadi.

“Beliau, saya lihat sebagai aktivis yang amat agresif, berdedikasi dan tentunya orang yang dekat dengan idealisme,” katanya mengimbas waktu Fadhlina mengikuti jurusan undang-undang di UIAM.

Selepas memulakan kerja di firma guaman, Khair menegaskan beliau tidak pernah berinteraksi satu sama lain, hanya sesekali menghantar mesej kepada Fadhlina, itupun hanya sekadar menyatakan terserempak Allahyarham Dr. Siddiq di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia.

“Saya maklumkan kepada beliau saya bertemu ayahnya atau kadang-kadang ada buku baru seperti buku berjudul Wanita Melayu Mengelilingi Dunia karya Tan Sri Aishah Ghani, saya akan hantar kepada beliau. Itulah cara saya berinteraksi dengan Fadhlina.

“Kami tidaklah rapat, tetapi kami ada berhubung, kadang-kadang Fadhlina hadir di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dan di situ kami berborak,” kata Mohd Khair yang juga Pengerusi TV Al-Hijrah. 

Ditanya apakah keistimewaan Fadhlina berbanding pelajar beliau yang lain, jelas Mohd Khair yang juga Pengerusi USIM Holdings Sdn. Bhd. (syarikat milik penuh Universiti Sains Islam Malaysia), beliau mempunyai ramai pelajar, tetapi melihat Fadhlina seorang yang idealis dan ada karisma.

“Saya faham Fadhlina ada perkara yang mahu digapainya dan sentiasa memiliki idea tersendiri. Beliau tidak kisah apa orang mahu bercakap soal dirinya, beliau buat apa yang dirasakan betul. Itu yang saya lihat beliau agak berbeza dengan yang lain.

“Seperti sekarang, saya juga lihat ramai pemimpin yang ingin ambil tahu fasal diri Fadhlina – perspektif masyarakat dan kawan-kawan – namun saya lihat Fadhlina jenis tidak ambil kisah apa orang ingin berkata soal dirinya.

“Dia mungkin ada sensitiviti, tetapi beliau tidak tunjukkan. Itu yang tampak hatinya agak keras dan tegas,” jelas Mohd Khair. 

Namun, kata beliau, dalam ketegasan Fadhlina – ibu kepada enam cahaya mata itu – mempunyai hati yang lembut, sememangnya wujud ketika era Ahli Parlimen Nibong Tebal itu memegang tampuk dalam NGO.

“Beliau sering bantu ibu tunggal, anak Orang Asli dan golongan yang tersisih. Di situ kita dapat lihat jiwa beliau begitu prihatin dan lembut terhadap golongan yang tidak bernasib baik,” kata Mohd Khair.

Mengenai pembabitannya dalam arena politik, Mohd Khair berkata, beliau kembali berhubung dengan Fadhlina apabila arwah bapanya meninggal dunia.

“Saya lihat seperti ada satu fenomena, yang mana ketika berada di hospital ramai yang menulis mengenai Dr. Siddiq. Selepas meninggal dunia pun banyak tulisan mengenai tokoh berkenaan.

“Saya minta izin pada Fadhlina untuk kami merakamkan episod berkenaan dengan menerbitkan satu buku khas. Jadi, saya bertemu beliau dan menyatakan kepada saya, arwah bapanya tidak mahu beliau memasuki arena politik. Sebenarnya banyak pihak dari pelbagai parti mahu menyunting beliau.

“Saya sebenarnya tidak terkejut beliau terbabit secara langsung dalam politik kerana melihat kepada prinsip idealisme yang beliau ada dengan kecekalan serta ketegasan hatinya, jadi tempat yang paling sesuai untuk Fadhlina teruskan kariernya adalah dalam arena ini.

“Sebab melalui politik, saya rasakan beliau boleh melaksanakan idealismenya selama ini. Pada saya, bila bersama NGO selama-lamanya kita seperti merintih, marah, tetapi tidak boleh menyumbang sesuatu. Jalan terbaik pada saya, Fadhlina perlu babitkan diri dalam politik,” jelasnya.

Mengenai pembabitan Fadhlina di bidang yang diceburinya sama ada positif atau sebaliknya, Mohd Khair berkata, beliau mempunyai pengalaman bersama Kementerian Pendidikan sejak 2007.

“Saya menyertai pasca kabinet bersama Hishamuddin Tun Hussein (Datuk Seri), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mahadzir Khalid, Maszlee Malek, Datuk Seri Radzi Jidin dan Fadhlina.

“Yang saya perhatikan, Fadhlina itu adalah orang pilihan kerana beliau sememangnya suka bekerja secara berpasukan. Ketika awal pembabitannya di kementerian berkenaan, Fadhlina tidak banyak bersuara, lebih kepada memerhati.

“Fadhlina tidak kemukakan gagasan beliau sendiri, tetapi lebih memahami apa yang diperjuangkan bersama menerusi pasukannya. Sebab itu, kita lihat dalam banyak isu, Fadhlina banyak harungi tugasannya bersama Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah Pendidikan.

“Kita boleh saksikan ketika sidang akhbar pertama beliau yang menerima kritikan, beliau beri peluang kepada KSU dan KPPM menjawab soalan wartawan. Dari sudut politik, itu adalah tanda kelemahan, namun dari aspek kerja berpasukan, saya melihat ia adalah kaedah keikhlasan Fadhlina (Sidek),” kata beliau.

Mohd Khair juga ditanya sebagai mantan guru adakah beliau sentiasa menegur Fadhlina jika ada kesilapan yang tidak disengajakan? Jelasnya, beliau sentiasa sedar diri dan sudah tentu tidak akan memberi pandangan kecuali diminta.

Tentunya, kata beliau, sebagai seorang guru, beliau melihat Fadhlina tidak akan berada di situ jika tidak ada kekuatan.

Fadhlina dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai orang baharu, wanita pertama sebagai Menteri Pendidikan, sudah tentu beliau memiliki kekuatan tersendiri dan tidak perlu baginya memberi sebarang nasihat atau pandangan kecuali diperlukan.

“Saya sentiasa memahami bahawa dalam keadaan begini orang yang diberi amanah dan tanggungjawab ada kekuatan mereka sendiri,” ulas beliau lagi.

Mohd Khair juga ditanya bagaimana boleh mengekalkan keakraban, sedangkan kini Fadhlina adalah ketuanya? Jelasnya, beliau tidak terlalu akrab dengan Fahdlina. Hanya sebagai pekerja dan boss yang sememangnya ada batas dan sudah tentu prinsip serta soal hormat menghormati menjadi keutamaan.

“Cuma Fadhlina kini adalah Menteri Pendidikan dan boss saya pada masa ini. Beliau juga Pengerusi MBKM (Majlis Buku Kebangsaan Malaysia) dan saya Setiausahanya.

“Pada saya, sememangnya berbangga berkhidmat di bawah kepimpinan beliau, meskipun dulu Fadhlina adalah anak murid saya.

“Saya tidak ada rasa iri atau kecil hati, malah berbangga kerana anak murid saya kini bergelar Menteri. Lagipun sejak dulu lagi beliau memanggil saya Tuan Guru dan saya menggelarkan dirinya Srikandi.

“Itu cerita lama dan itulah hubungan saya dengan Fadhlina. Pada saya, perkara yang sangat membahagiakan dan membanggakan kerana anak murid saya menjadi boss saya sendiri.

Boleh diperkatakan, ia berlaku seribu dalam satu, Khair secara seloroh berkata, “dulu saya boleh merotannya, tetapi kini dia boleh merotan saya,” jelasnya secara berjenaka.

Beliau turut menyatakan, pemerhatiannya pada Fadhlina yang sering menjadi kritikan umum, adalah seorang yang kekal dan cekal. Beliau tetap menghadapinya dengan penuh rasa tanggungjawab, beliau terus berusaha apa yang beliau rasakan benar.

“Saya fikir tidak ramai menteri yang dapat ujian dan cabaran seperti Fadhlina – gambarnya diubah suai, kata-katanya diulang dan dimomokkan dengan keadaan yang sangat tidak bertanggungjawab.

“Tetapi, Fadhlina mengambil perkara itu dengan penuh jati diri, dia tidak melenting, dia tetap teruskan tugasnya, dia tetap ke sekolah dan hadir di mana-mana program.

“Saya rasa jika orang lain sudah berhenti sekejap dan ambil cuti. Tetapi, Fadhlina tetap jalankan tugasnya seperti biasa. Pada saya, inilah jiwa Srikandi sebenar. Maksudnya, inilah cabaran yang beliau hadapi.

“Sebenarnya saya pernah berhubung dengan beliau mengenai isu yang dibawa, tahu tak apa yang beliau katakan pada saya? “Encik Khair, Tuhan nak bagi kita naik dan turun bila bila masa.

Sebab itu katanya, Fadhlina tidak pernah membangkang apa benda yang pernah dilakukan menteri terdahulu dan merasakan jika itu baik, dia tetap teruskan dan tidak akan sesekali menolak bulat-bulat.

Menurut Mohd Khair, beliau tidak katakan Fadhlina adalah yang terbaik, tetapi beliau sudah laksanakan tugasnya dengan berkesan, sentiasa merujuk kepada pasukan profesionalnya di kementerian dalam melaksanakan tugasnya.

Fadhlina, ujarnya, tidak bergerak sendiri, malah sentiasa berinteraksi dan yang paling penting beliau mampu memajukan dasar pendidikan Malaysia demi anak bangsa.

“Biarpun Fadhlina masih baru, kita kena berlaku adil kepadanya bahawa tugas beliau adalah serius dan pada tahun-tahun awal selaku Menteri, pelbagai onak dilaluinya, namun dihadapinya penuh rasa tanggungjawab.

“Saya tidak fikir ada perkara yang beliau lakukan merosakkan intistusi pendidikan di Malaysia. Sememangnya ada kritikan, tetapi kebanyakannya adalah secara peribadi dan cemuhan itu juga dilihat muncul daripada sekelompok kecil masyarakat.

“Sebenarnya ramai yang mengidamkan tempat beliau dan saya lihat sifat cemburu mungkin wujud,” kata Mohd Khair. 

Ditanya Fadlina di mata PMX, Mohd Khair menjelaskan, beliau melihat Perdana Menteri menyaksikan Fadhlina dengan penuh rasa kasih dan sayang mungkin kerana dia yakin Fadhlina sebagai sosok muda yang dipercayai untuk teruskan legasi reformasi PMX. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *