MACHANG – Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia (PWPPRCSWKM) telah menerima jemputan dan pencalonan bagi kategori NGO Warisan dan Budaya Terbaik dalam majlis Anugerah Perdana NGO Malaysia 2025 yang akan berlangsung pada 23 Disember ini di Grand Ballroom, Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway.
Majlis berprestij ini dianjurkan oleh Yayasan Generasi Malaysia (YGM) dengan kerjasama Yayasan Keusahawan Sosial (YKS) bagi menghargai sumbangan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), aktivis NGO, syarikat korporat serta pihak berwajib yang menyokong program NGO di seluruh negara.
Acara yang mendapat sokongan rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri ini telah dilancarkan pada 26 September lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zaleha Mustafa di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.
Majlis yang dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tetamu kehormat utama, bertujuan meraikan pencapaian NGO serta memartabatkan usaha pemeliharaan warisan dan budaya Malaysia.
Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia yang dipimpin Yang Dipertuanya, Fadzillah Hussin dijangka menghantar wakil untuk menerima pencalonan tersebut.
Anugerah Perdana NGO Malaysia 2025 dijangka menjadi salah satu platform utama dalam memperkukuh jaringan antara NGO, korporat, dan pihak kerajaan, selain mengiktiraf usaha-usaha luar biasa dalam memelihara warisan serta budaya negara. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
