Thailand serah taikun judi, She Zhijiang kepada China

BANGKOK – Taikun judi China yang yang dikaitkan dengan hab penipuan di sempadan Thailand-Myanmar, She Zhijiang, diekstradisi ke China, hari ini.

Ekstradisi merujuk kepada proses rasmi menyerahkan seorang suspek jenayah dari satu negara ke negara lain supaya dia boleh dibicarakan atau dihukum di negara yang menuntutnya, dalam kes ini, China.

Menurut Penolong Pesuruhjaya Agung Polis Thailand, Leftenan Jeneral Polis Jirabhop Bhuridej, Zhijiang dipindahkan ke China untuk dibicarakan kerana dituduh mengendalikan kasino dan laman perjudian haram, serta menggunakan Myanmar sebagai pusat operasi haram dan untuk mencuci wang haram.

“China sudah meminta suspek ini yang juga keutamaan tinggi bagi China,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, keputusan itu selepas mahkamah awal minggu ini mengekalkan perintah yang dikeluarkan selepas pertikaian undang-undang selama lebih tiga tahun.

Zhijiang, 43, warga China yang juga memegang pasport Kemboja, ditahan oleh polis Thailand pada Ogos 2022 menggunakan waran antarabangsa dan notis merah Interpol yang dikeluarkan oleh Beijing, yang menuduhnya mengendalikan operasi perjudian dalam talian secara haram.

Mahkamah Thailand pada 2024 mengarahkan pemindahan tahanan itu ke China dan satu lagi mahkamah mengekalkan keputusan itu semalam, selepas rayuan pasukan peguam bela Zhijiang.

China sudah menghantar pesawat khas untuk menjemput lelaki itu di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok dan turut mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa Thailand atas cara mereka mengendalikan kes itu.

“Ini menunjukkan tahap kerjasama yang tinggi antara kedua-dua negara,” kata Kaunselor di Kedutaan China di Bangkok, Zhao Mengtao.

Mengtao menambah bahawa kedua-dua negara akan memperkukuh kerjasama dalam memerangi jenayah terancang seperti perjudian dalam talian dan penipuan siber.

Peguam Zhijiang, Sanya Eadjongdee, menyifatkan proses pemindahan itu ‘luar biasa’, tetapi tidak memberi penjelasan lanjut dan menegaskan bahawa anak guamnya masih menafikan sebarang salah laku.

Ketika ditangkap, Zhijiang mengurus empayar perjudian besar termasuk kompleks kasino, hiburan dan pelancongan bernilai AS$15 bilion (RM61.71 bilion) yang dikenali sebagai Shwe Kokko, terletak di sempadan Thailand-Myanmar.

Pada September lalu, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas sembilan syarikat dan individu yang berkaitan dengan Shwe Kokko kerana didapati terbabit dalam rangkaian penipuan dan pemerdagangan manusia di rantau ini.

Sejak pandemik COVID-19, kawasan sempadan antara Thailand, Myanmar, Laos dan Kemboja menjadi pusat kegiatan penipuan dalam talian dan menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), berbilion dolar diperoleh daripada pemerdagangan ratusan ribu individu yang dipaksa bekerja dalam kompleks-kompleks itu. – REUTERS

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *