Edwards kembali ke pangkuan Wolves

LONDON – Kelab Liga Perdana Inggeris, Wolves mengesahkan pelantikan Rob Edwards sebagai pengendali baharu pasukan itu dengan kontrak selama tiga setengah tahun, umum kelab berkenaan hari ini.

Edwards meninggalkan kelab Middlesbrough di saingan Kejuaraan untuk menggantikan Vitor Pereira yang dipecat awal bulan ini selepas prestasi hambar skuad Wolves.

Bekas pengurus Luton Town berusia 42 tahun itu berdepan cabaran besar untuk memastikan Wolves mengekalkan tempat mereka dalam Liga Perdana Inggeris, selepas hanya meraih dua mata daripada 11 perlawanan pertama sekali gus menghuni tangga tercorot liga.

Pelantikan ini menandakan kepulangan kali keempat Edwards ke kelab berkenaan, selepas pernah membuat 111 penampilan sebagai pemain, selain pernah berkhidmat sebagai jurulatih dan pengendali sementara sebelum ini.

“Saya sangat mengenali Rob dan saya melihat dia membangun dalam pelbagai bidang kerja,” kata pengerusi Wolves, Jeff Shi.

“Dia seorang yang sangat baik, dia tahu kelab dengan begitu baik, dia mengenali bandar ini, penyokong dan begitu berbakat.”

Wolves kini lapan mata daripada zon selamat dan Shi berkata: “Kami perlu menyegarkan keseluruhan kelab dengan falsafah jurulatih baharu, membawa identiti dan ideanya tersendiri.

“Kami berada di fasa baharu kelab dan Rob akan menjadi kunci utamanya.”

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *