KUALA LUMPUR – BMS Holdings Berhad (BMS Holdings) peruncit dan pengedar jubin, permukaan batu, peralatan mandian dan peralatan dapur, mensasarkan untuk mengumpul RM80.08 juta dari tawaran awam permulaan (IPO) Pasaran ACE.
Hasil itu bakal digunakan untuk pengembangan operasi dan bilik pameran runcit baharu sebanyak RM34.28 juta, menaik taraf kemudahan dan sistem ICT sedia ada sebanyak RM17 juta, RM4 juta untuk aktiviti pemasaran, RM18.80 juta untuk modal kerja danRM6 juta untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.
IPO ini akan terdiri daripada terbitan awam sebanyak 364.00 juta saham baharu (Saham Terbitan) dan tawaran jualan sebanyak 156.00 juta saham sedia ada (Saham Tawaran), yang secara kolektifnya mewakili kira-kira 33.77 peratus daripada bilangan saham terbitan BMS Holdings yang diperbesarkan sebanyak 1.54 bilion semasa penyenaraian.
Berdasarkan harga IPO sebanyak RM0.22 sesaham dan bilangan saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 1.54 bilion, permodalan pasaran BMS Holdings semasa penyenaraian akan menjadi kira-kira RM338.80 juta.
Pengarah Urusan BMS Holdings Berhad, Ang Kwee Peng berkata, pelancaran prospektus menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan 32 tahun daripada peruncit serantau kepada salah satu peruncit dan pengedar terkemuka di Malaysia yang mengkhusus dalam jubin, permukaan batu, peralatan mandian dan peralatan dapur.
“IPO ini akan membolehkan kami mengukuhkan kapasiti operasi kami, mengembangkan kehadiran runcit kami, dan terus berinovasi selaras dengan trend pengguna yang berubah-ubah.
“Kami berhasrat untuk membawa produk permukaan dan reka bentuk moden yang berkualiti lebih dekat kepada pemilik rumah, kontraktor dan pemaju di seluruh negara,” katanya.
Beliau menambah, dana yang dikumpul akan disalurkan untuk membina bilik pameran runcit baharu dan pusat pengedaran serantau bagi meningkatkan kecekapan logistik, menaik taraf platform digital dan menyokong inisiatif pertumbuhan syarikat.
Permohonan untuk terbitan awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 19 November ini jam 5 petang.
BMS Holdings dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 8 Disember 2025.
Alliance Islamic Bank Berhad ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan untuk IPO BMS Holdings Berhad.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
