Oleh: Siti Khadijah Manudin
GENERAL SANTOS – Lebih 20,000 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda selatan Filipina, mengorbankan sekurang-kurangnya 37 orang dan mencederakan ratusan yang lain.
Gempa yang berlaku berhampiran wilayah Sarangani pada awal pagi Isnin itu menyebabkan beberapa bangunan runtuh, tanah runtuh serta kerosakan besar kepada infrastruktur awam di kawasan sekitar pulau Mindanao. Pasukan penyelamat masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi memastikan tiada mangsa terperangkap di bawah runtuhan.
Menurut pihak berkuasa, kira-kira 88,000 penduduk terjejas akibat bencana tersebut, manakala lebih 20,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara sebagai langkah keselamatan. Amaran tsunami yang dikeluarkan sejurus selepas kejadian bagaimanapun telah ditarik balik apabila keadaan laut kembali stabil.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., telah mengarahkan bantuan kecemasan disalurkan segera kepada mangsa dan menugaskan agensi berkaitan untuk menilai tahap kerosakan serta menyelaras usaha pemulihan.
Selain kehilangan nyawa, gempa tersebut turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan air di beberapa kawasan. Sekolah-sekolah di wilayah terjejas juga ditutup sementara bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dijalankan ke atas bangunan yang rosak.
Filipina yang terletak di Lingkaran Api Pasifik sering mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi, menjadikannya antara negara paling terdedah kepada bencana geologi di dunia.
Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L