Memahami Makna Sebenar TVET di Malaysia

Oleh: Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali

BEBERAPA hari kebelakangan ini, pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mula menerima pelbagai tawaran untuk melanjutkan pengajian. Ada yang memilih universiti, politeknik, kolej komuniti, kolej vokasional, institusi latihan kemahiran dan pelbagai lagi laluan pendidikan yang tersedia.

Dalam keterujaan menerima tawaran tersebut, satu perkara yang sering menjadi perhatian pelajar dan ibu bapa ialah nilai sijil atau diploma yang bakal diperoleh.

Antara persoalan yang kerap timbul ialah, “Yang mana lebih baik?”, “Yang mana lebih diiktiraf?” dan “Yang mana lebih mudah mendapat pekerjaan?” Persoalan ini wajar diberi perhatian kerana ia mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap masa depan pendidikan dan kerjaya anak-anak.

Namun, dalam membincangkan perkara ini, kita perlu melihat satu persoalan yang lebih asas, iaitu apakah sebenarnya maksud Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia?

TVET sering digunakan sebagai istilah umum yang merangkumi pelbagai bentuk pendidikan, latihan dan pembangunan kemahiran. Dalam ekosistem pendidikan negara, TVET dilaksanakan melalui pelbagai institusi dan laluan pembelajaran.

Ada program yang menekankan latihan kemahiran berasaskan pekerjaan, ada yang memberi tumpuan kepada pengetahuan teknikal, dan ada juga yang menggabungkan kedua-dua elemen tersebut.

Kepelbagaian ini sebenarnya merupakan kekuatan kepada negara. Universiti, politeknik, kolej komuniti, kolej vokasional dan institusi latihan kemahiran masing-masing mempunyai peranan tersendiri dalam menyediakan bakat untuk pelbagai sektor pekerjaan.

Namun, nilai sebenar TVET tidak wajar diukur melalui nama sijil, diploma atau institusi semata-mata. Apa yang lebih penting ialah kemahiran yang dibina, standard yang dicapai dan sejauh mana kompetensi tersebut diyakini oleh industri.

Untuk memahami perkara ini dengan lebih jelas, kita perlu melihat kembali asas pembangunan kemahiran negara. Seawal tahun 1970an, kerajaan telah menubuhkan Lembaga Latihan Perindustrian dan Persijilan Ketukangan Kebangsaan (LLPPKK) bagi menyelaras latihan dan persijilan tenaga kerja negara.

Peranan tersebut kemudiannya diperkukuh melalui penubuhan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) pada tahun 1989, sebelum distruktur semula menjadi Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 [Akta 652].

Matlamat asal penubuhan LLPPKK, MLVK dan seterusnya JPK adalah jelas, iaitu membangunkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri. Sistem ini dibina berasaskan pembangunan standard pekerjaan, latihan berasaskan kompetensi dan pengiktirafan kemahiran tenaga kerja.

Di sinilah peranan JPK menjadi penting dalam ekosistem TVET negara. JPK bukan sekadar agensi yang mengeluarkan sijil kemahiran, tetapi berperanan sebagai peneraju pembangunan standard kompetensi kemahiran negara.

Melalui Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan atau National Occupational Skills Standard (NOSS), pentauliahan, penilaian dan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia, JPK membantu memastikan latihan kemahiran mempunyai ukuran kompetensi yang jelas dan boleh dirujuk oleh industri.

Dalam konteks ini, Akta 652 merupakan instrumen perundangan penting yang paling hampir dengan TVET kerana kerangkanya menekankan hubungan antara latihan, kompetensi, standard pekerjaan, pentauliahan dan keperluan industri.

Walaupun akta tersebut tidak memberikan definisi khusus mengenai TVET, falsafah pembangunan kemahiran negara jelas terkandung dalam pelaksanaannya. Dalam usaha memperluas akses kepada pendidikan dan latihan, identiti asas TVET tidak boleh diketepikan.

TVET perlu terus dilihat sebagai laluan yang membina kemahiran sebenar, meningkatkan kompetensi individu dan menyediakan mereka untuk memasuki dunia pekerjaan.

Oleh itu, perbincangan mengenai TVET perlu dilihat secara lebih matang dan tidak hanya tertumpu kepada soal “sijil mana yang lebih baik”. Usaha memperkukuh kefahaman dan penyelarasan TVET ini bukanlah perkara baharu.

Kerajaan telah memberikan perhatian serius terhadap keperluan menyelaras ekosistem TVET negara, khususnya melalui Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11).

Antara agenda penting yang diberi penekanan ialah memperkukuh tadbir urus melalui Sistem Jaminan Kualiti Tunggal TVET. Hasrat ini diterjemahkan melalui pengwujudan Kod Amalan Pentauliahan Program TVET atau Code of Practice for TVET Programme Accreditation (COPTPA) pada tahun 2019.

COPTPA menjadi langkah penting dalam menyelaraskan jaminan kualiti program TVET negara melalui kerjasama antara agensi berkaitan agar penilaian, pentauliahan dan pengiktirafan program TVET dapat dilaksanakan secara lebih teratur.

Sebagai manifestasi komitmen dan penyelarasan Kerajaan dalam perkara ini, semua program TVET di bawah JPK serta program bercirikan TVET di bawah MQA telah disyaratkan untuk beralih kepada pematuhan COPTPA mulai tahun 2026 bagi memastikan pematuhan standard kualiti yang seragam dalam pelaksanaan latihan.

Akhirnya, apabila maksud dan nilai TVET difahami dengan jelas, pelajar dan ibu bapa akan lebih yakin membuat pilihan. Majikan pula akan lebih mudah menilai kompetensi graduan, manakala sistem TVET negara dapat terus diperkukuh secara lebih tersusun, berkualiti dan berpaksikan keperluan industri.

Ir. Ts. Dr. Kamaruzaman Md. Ali Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia Jun 2026

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *