Oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meraikan tokoh ilmuwan terbilang, Profesor Dr. Ishak Saat, yang dikurniakan gelaran Profesor Emeritus sebagai mengiktiraf jasa dan sumbangan luar biasa beliau dalam bidang pendidikan dan sejarah negara.
Penganugerahan tersebut disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim yang juga canselor UPSI ketika sesi pertama Istiadat Konvokesyen UPSI ke-27 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, pengurniaan gelaran itu mencerminkan penghargaan tertinggi universiti terhadap sumbangan Profesor Ishak dalam memperkaya khazanah ilmu sejarah dan melahirkan generasi pendidik yang berwibawa.
“Beliau bukan sahaja seorang sarjana prolifik, malah seorang pendidik sejati yang sentiasa menjadikan ilmu sebagai wahana membina peradaban bangsa. Ketokohan beliau amat menyerlah dalam dunia akademik, penyelidikan, dan kepimpinan ilmiah.

Dilahirkan pada 30 November 1964 di Sitiawan, Perak, Profesor Ishak membuktikan bahawa kesederhanaan bukan halangan untuk mencapai kecemerlangan.
Beliau memulakan karier pendidik di SMK Methodist, Tanjong Malim pada tahun 1988 sebelum meneruskan khidmat di beberapa sekolah lain, antaranya SMK Sri Tapah, di mana beliau dipertemukan dengan isteri tercinta, Sharifah Rogayah Syed Idrus.
Didorong semangat untuk terus menimba ilmu, beliau menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (Sejarah dan Sains Politik) di Universiti Sains Malaysia (USM), diikuti Ijazah Sarjana Sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan akhirnya memperoleh Doktor Falsafah (PhD) dari USM pada tahun 2007 dengan pembiayaan sendiri.
Kerjaya akademiknya terus berkembang apabila beliau berkhidmat di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Tuanku Bainun dan kemudiannya sebagai Pensyarah Kanan di USM, sebelum menyertai UPSI sebagai Profesor Madya dan akhirnya dilantik sebagai Profesor Sejarah di Fakulti Sains Kemanusiaan.
Sepanjang lebih tiga dekad bergelar pendidik, beliau telah membimbing lebih 30 pelajar pascasiswazah, menjadi pemeriksa tesis, penilai akademik, serta aktif membentangkan kertas kerja di peringkat antarabangsa.
Antara kejayaan besar beliau ialah mengetuai pembinaan Muzium Pendidikan Nasional UPSI yang dirasmikan oleh DYMM Raja Permaisuri Tuanku Bainun pada 2011.

Selain itu, beliau pernah dilantik sebagai Profesor Kunjungan USM (2017–2018), Pengerusi Jawatankuasa Pakar Rujuk Buku Teks dan Kurikulum Sejarah KPM (2015–2025), serta Setiausaha Majlis Pakar Asosiasi Sejarawan dan Pendidik Sejarah Antarabangsa (2023–2028).
Sebagai sarjana prolifik, beliau telah menerbitkan lebih 50 buah buku ilmiah, termasuk karya yang meraih Anugerah MAPIM (2018), Anugerah Buku Negara (2021) dan Anugerah Penulis Prolifik UPSI (2022 dan 2023).
Kajian beliau banyak menyorot tokoh-tokoh perjuangan seperti Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, dan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, serta tokoh kenegaraan seperti Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
