KUALA LUMPUR – Bagi memperingati ulang tahun kelahiran ke-100 Sasterawan Negara Arena Wati, satu program istimewa bertajuk Siri Syarah Kebudayaan 2025 akan diadakan pada 15 November ini di Muzium Telekom, Kuala Lumpur.
Acara sehari penuh itu, yang dijadual berlangsung dari jam 10 pagi hingga 6.30 petang, bakal menyoroti warisan intelektual, pemikiran dan sumbangan besar Arena Wati terhadap perkembangan kesusasteraan Melayu moden.
Menurut kenyataan penganjur, Jurnal Svara, program ini bukan sekadar memperingati tokoh tersohor itu, tetapi turut menjadi permulaan kepada satu gerakan budaya berterusan yang bertujuan meraikan idea, kesenian, perbukuan dan penerbitan yang mengangkat kebudayaan tempatan serta serantau.
Syarahan utama akan disampaikan oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan, diikuti dua sesi forum yang membincangkan kehidupan dan karya Arena Wati daripada pelbagai perspektif termasuk pengkaji, editor, penggiat dan pembaca karya beliau.
Pengunjung turut berpeluang menikmati pembacaan karya serta pameran buku-buku Arena Wati yang jarang didapati di pasaran.
“Siri Syarah Kebudayaan ini berperanan memupuk kesedaran baharu terhadap pentingnya warisan budaya dan kesusasteraan dalam masyarakat, menghidupkan semula tradisi intelektual serta menggalakkan generasi muda menghargai khazanah pemikiran bangsa,” jelas Jurnal Svara dalam kenyataan medianya.
Inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama Jurnal Svara dan kedai buku Riwayat, yang berhasrat mewujudkan ruang dialog dan perkongsian antara penulis, sarjana, penggiat seni serta masyarakat umum.
Arena Wati, atau nama sebenarnya Muhammad Dahlan Abdul Biang, diangkat sebagai Sasterawan Negara kelima pada tahun 1987.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini, orang ramai boleh menghubungi Roestam Alias di talian 019-2339113.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001