BAGHDAD – Jutaan rakyat Iraq keluar mengundi hari ini untuk memilih Ahli Parlimen baharu dalam pilihan raya yang bakal menentukan hala tuju politik negara itu bagi tempoh empat tahun akan datang, lapor Agensi Anadolu.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Iraq, seramai 7,743 calon bertanding merebut 329 kerusi Parlimen, termasuk 2,247 calon wanita.
Di bawah undang-undang pilihan raya Iraq, sekurang-kurangnya 25 peratus atau 83 kerusi diperuntukkan kepada wanita, selain sembilan kerusi khas bagi kumpulan minoriti etnik dan agama di peringkat wilayah serta kebangsaan.
Kira-kira 21 juta pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam pilihan raya kali ini. Ahli Dewan Perwakilan yang terpilih akan memilih presiden serta memberikan mandat kepada pembentukan kerajaan baharu.
Ibu negara Baghdad merekodkan jumlah pengundi berdaftar tertinggi dengan 2,373,963 pengundi layak, menurut suruhanjaya berkenaan.
Proses pengundian bermula pada 7 pagi waktu tempatan (0400 GMT) dan berakhir pada 6 petang (1500 GMT) tanpa sebarang lanjutan masa.
Keputusan awal dijangka diumumkan dalam tempoh 24 jam selepas proses pengundian tamat, sebelum disahkan secara rasmi selepas semua rayuan disemak. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001