Dari Editorial ND
PADA tahun 1974, Malaysia membuka hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China. Siapa Perdana Menteri ketika itu?
Tidak lain (Allahyarham) Tun Abdul Razak Hussein, ayahanda kepada Datuk Seri Najib Razak.
Maknanya, hubungan Malaysia dengan China bukan projek Datuk Seri Anwar Ibrahim. Bukan juga projek mana-mana kerajaan hari ini. Ia sudah bermula lebih 50 tahun lalu.
Sejak itu, satu pendirian asas Malaysia tidak berubah, iaitu One China. Dalam bahasa kita, “Satu China”.
Maksud mudahnya begini: Malaysia mengiktiraf Republik Rakyat China dan tidak mengiktiraf Taiwan sebagai sebuah negara berdaulat.
Ini bukan perkara pelik. Majoriti besar negara di dunia mempunyai pendirian diplomatik yang sama.
Jepun begitu. Filipina begitu. Negara-negara Eropah begitu. Sebahagian besar negara Afrika pun begitu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Paling menarik, Amerika Syarikat sendiri, walaupun menjadi pesaing strategik China, tidak mengiktiraf Taiwan sebagai sebuah negara berdaulat secara diplomatik.
Jadi, kalau kita hendak marah apabila Malaysia menyebut “One China”, kita kena berhenti sekejap dan bertanya:
Sejak bila pula Malaysia mengiktiraf Taiwan sebagai negara? Jawapannya: tidak pernah.
Sebab itu di Kuala Lumpur ada Kedutaan China. Tidak ada Kedutaan Taiwan. Yang ada ialah pejabat perwakilan Taiwan untuk urusan ekonomi dan kebudayaan. Bukan kedutaan.
Kenapa? Sebab begitulah pendirian diplomatik Malaysia. Tetapi kenapa tiba-tiba jadi isu? Di sinilah ceritanya mula menarik.
Pada tahun 2014, ketika genap 40 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China, Najib Razak pergi ke China.
Dalam hubungan dua hala itu, satu memorandum persefahaman dimeterai dan Malaysia sekali lagi menegaskan pendiriannya terhadap dasar “One China”. Jadi, apabila hari ini Anwar menyebut Taiwan sebagai sebahagian daripada China, sebenarnya kita tidak sedang mendengar satu lagu baharu.
Kita cuma mendengar lagu lama yang dimainkan semula. Bezanya, penyanyinya sudah bertukar. Dulu Najib. Hari ini Anwar.
Esok, kalau kerajaan bertukar sekalipun, sangat besar kemungkinan pendirian asas itu masih sama. Kerana dasar luar negara bukan macam status Facebook. Takkan setiap kali kerajaan bertukar, semua pendirian negara kita hendak di-reset.
Tetapi tunggu dulu. Ada satu perkara yang selalu mengelirukan orang. Mengiktiraf dasar “One China” tidak bermaksud Malaysia menyokong semua tindakan China. Ini dua benda yang berbeza.
Kita boleh mengiktiraf China. Kita boleh menganggap Taiwan bukan negara berdaulat dalam kerangka diplomatik kita. Pada masa sama, kita boleh mahu Taiwan aman. Kita boleh mahu tiada peperangan.
Kita boleh mahu China dan Taiwan menyelesaikan perbezaan secara aman. Kita boleh mahu kuasa-kuasa besar berhenti bermain api di rantau ini. Dan kita boleh mahu Malaysia tidak menjadi alat sesiapa.
Itulah namanya dasar luar. Bukan pertandingan bola sepak. Bukan kena pilih China atau Taiwan. Bukan juga kena pilih Amerika atau China. Negara yang bijak tidak hidup dengan mentaliti begitu.
Sebab itu saya rasa ada sesuatu yang pelik dalam polemik ini. Ada orang tiba-tiba menjadi begitu prihatin terhadap Taiwan selepas Anwar bercakap mengenai Taiwan.
Tiba-tiba Taiwan menjadi isu besar. Tiba-tiba semua orang bercakap tentang kedaulatan, hak rakyat Taiwan dan geopolitik Asia. Baguslah.
Tetapi kita boleh bertanya satu soalan kecil. Sejak bila mereka begitu mengambil berat tentang Taiwan? Adakah Taiwan benar-benar menjadi prinsip? Atau Taiwan cuma menjadi senjata untuk ditembak kepada Anwar?
Ini bukan persoalan yang tidak munasabah. Dalam politik, kita semua tahu kadang-kadang prinsip datang kemudian. Musuh datang dahulu.
Bila nampak sesuatu yang boleh digunakan untuk menyerang lawan, barulah prinsip dicari. Hari ini Taiwan. Esok mungkin isu lain. Dan, ini bukan masalah Malaysia sahaja.
Kuasa-kuasa besar pun menggunakan Taiwan dalam permainan geopolitik mereka. Jadi, jangan terlalu cepat terharu apabila ada orang tiba-tiba mengangkat bendera Taiwan. Tengok dahulu konsistensinya.
Bagi saya, kita terlalu mudah terperangkap dalam permainan “siapa sokong siapa”. Sedangkan persoalan yang jauh lebih penting ialah:
Apa kepentingan Malaysia? Malaysia berada di Asia Tenggara. China ialah kuasa ekonomi dan ketenteraan besar di rantau kita. Amerika Syarikat pula mempunyai kepentingan strategik yang besar di Indo-Pasifik. Taiwan pula berada tepat di tengah-tengah persaingan kuasa besar itu.

Kalau perang berlaku di Selat Taiwan, jangan fikir Malaysia boleh duduk sambil makan kuaci tengok dari jauh. Ekonomi kita akan terasa. Perdagangan akan terganggu. Rantaian bekalan boleh terjejas. Pasaran kewangan boleh bergoncang. Keselamatan serantau boleh berubah.
Jadi, Malaysia perlu bijak. Kita tidak perlu menjadi jurucakap Beijing. Kita juga tidak perlu menjadi jurucakap Washington. Kita perlu menjadi jurucakap Malaysia. Itulah sepatutnya prinsip kita.
Jadi, buku merah itu sebenarnya mengajar kita apa? Ia mengajar satu perkara yang sangat mudah. Sejarah dasar luar negara lebih panjang daripada hayat seseorang perdana menteri.
Tun Abdul Razak memulakan hubungan dengan China. Najib meneruskannya. Kerajaan selepas Najib meneruskannya. Anwar meneruskannya. Dan, kemungkinan besar perdana menteri selepas Anwar pun akan meneruskannya.
Sebab dunia tidak bergerak mengikut sentimen politik Twitter. Hubungan antarabangsa bergerak mengikut kepentingan negara. Sebab itu sebelum kita menuduh seseorang “menjual negara kepada China” hanya kerana beliau menyebut dasar “One China”, elok kita semak dahulu sejarah.
Sebelum kita tiba-tiba menjadi “pejuang Taiwan”, elok kita tanya dahulu apakah sebenarnya dasar Malaysia sejak 1974. Sebelum kita menjerit tentang kenyataan Anwar, mungkin elok kita buka semula buku-buku sejarah.
Barangkali kita akan terkejut. Rupa-rupanya apa yang kita sangka sebagai dasar baharu itu sudah lebih 50 tahun berada dalam buku lama. Cuma selama ini kita tidak membacanya. Mungkin itulah masalah kita.
Kita bukan kekurangan pendapat. Kita cuma kadang-kadang terlalu malas membaca sebelum berpendapat. – ND
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
