SHAH ALAM – Empat agensi hartanah, iaitu ESP Global, IQI Global, PropNex dan Firdaus & Associates bergabung bagi meneroka pendekatan baharu terhadap pemilikan hartanah menerusi pembangunan AI Living @ i-City yang disasarkan dilancarkan secara rasmi pada Oktober ini.
Kerjasama itu menyaksikan keempat-empat agensi berkenaan, dengan Firdaus & Associates sebagai agensi utama, mula membuka pendaftaran kepada bakal pembeli bagi projek kediaman yang dibangunkan I-Berhad dan didakwa sebagai pembangunan kediaman pertama di dunia berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Kerjasama itu bukan sekadar memberi tumpuan kepada urusan jual beli hartanah, sebaliknya bertujuan meneroka bagaimana teknologi AI dapat menyokong keseluruhan kitaran pemilikan kediaman, termasuk pembelian, penyewaan, jualan semula serta perkhidmatan kepada penghuni.
Pengarah I-Berhad, Datuk Eu Hong Chew berkata, konsep AI Living tidak hanya tertumpu kepada pembinaan kediaman yang dilengkapi teknologi AI, tetapi turut melihat potensi teknologi itu dalam meningkatkan pengalaman pemilik sepanjang tempoh pemilikan hartanah.
“AI Living bukan sekadar membina kediaman berkeupayaan AI, sebaliknya meneroka bagaimana AI boleh meningkatkan setiap peringkat perjalanan pemilik rumah, daripada mencari hartanah dan melengkapkan pembelian sehingga menyewa, menjual semula dan mendapatkan perkhidmatan sepanjang tempoh pemilikan.
“Dengan menghimpunkan empat agensi terkemuka, kami berpeluang membentuk masa depan itu bersama-sama,” katanya.
Menurutnya, UrbanOS menjadi antara komponen utama dalam ekosistem AI Living, iaitu platform penyelarasan digital yang sedang dibangunkan i-City untuk menghubungkan AI, robotik, sistem bangunan pintar dan perkhidmatan penghuni.
Keempat-empat agensi terbabit juga telah membuat pelaburan dalam teknologi digital dan AI bagi meningkatkan interaksi dengan pelanggan serta produktiviti ejen masing-masing.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Walaupun setiap agensi mempunyai keupayaan digital berbeza, kerjasama itu melihat AI Living sebagai peluang untuk mentakrifkan semula peranan sektor hartanah dalam mencipta nilai kepada pelanggan sepanjang kitaran pemilikan.
Pengarah Urusan ESP, Aldrin Tan berkata, projek berkenaan menunjukkan bagaimana platform digital boleh berkembang menjadi ekosistem jangka panjang yang menghubungkan pemaju, profesional hartanah dan penghuni.
“Peluang sebenar terletak pada integrasi keseluruhan kitaran hartanah. AI Living membolehkan industri meneroka bagaimana AI dapat mewujudkan hubungan lebih kukuh antara pemilik rumah, penyedia perkhidmatan dan komuniti secara lebih meluas untuk tempoh bertahun-tahun,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden IQI, Ts. Kamal Abd. Ghafur berkata, AI Living adalah kesinambungan semula jadi kepada transformasi digital yang sedang berlaku dalam industri hartanah.
Katanya, penggunaan AI dalam sektor berkenaan kini semakin berkembang, khususnya bagi memperibadikan pengalaman pelanggan.
“Industri hartanah sudah mula menggunakan AI untuk memperibadikan pengalaman pelanggan. AI Living membolehkan kita mengambil langkah seterusnya, iaitu kecerdasan terus memberikan nilai walaupun selepas pemilik berpindah masuk ke kediaman,” katanya.
Ketua Pegawai Projek PropNex, Steve Tong pula berkata, inisiatif itu menunjukkan potensi AI untuk menghubungkan setiap peringkat perjalanan pelanggan, bukan hanya menjadikan sesuatu urus niaga lebih cekap.
“Realiti masa depan hartanah ialah pengalaman berterusan apabila teknologi menyokong pembeli sebelum, semasa dan sepanjang tempoh pemilikan.
“AI Living memberikan peluang untuk kita bersama-sama membentuk masa depan tersebut,” katanya.
Pengerusi Eksekutif Firdaus & Associates, Datuk Sr. Firdaus Musa berkata, kerjasama itu pula membuka ruang kepada industri hartanah untuk berkembang seiring dengan perubahan teknologi.
Menurutnya, profesion hartanah secara tradisinya memberi tumpuan kepada urusan membantu pelanggan membeli, menjual dan menyewa kediaman, namun AI Living berpotensi mengubah skop tersebut kepada satu ekosistem pemilikan yang lebih menyeluruh.
“Dengan UrbanOS, kami boleh meneroka bagaimana AI menyokong pemilik rumah selepas pembelian awal, daripada urusan sewaan dan jualan semula hingga perkhidmatan penghuni serta peluang lain yang mungkin muncul dari semasa ke semasa.
“Ini lebih daripada sekadar menjual pembangunan kediaman baharu. Ia peluang untuk bekerjasama dengan i-City sejak peringkat awal bagi meneroka bagaimana peranan profesional hartanah sendiri boleh berkembang dalam era AI,” katanya.
Keempat-empat agensi berkenaan akan mula menjalankan aktiviti pemasaran serta pendaftaran bakal pembeli bagi AI Living menjelang pelancaran rasmi yang disasarkan pada Oktober 2026.
Sementara itu, proses menandatangani Perjanjian Jual Beli (S&P) dijangka bermula pada suku kedua 2027.
Kerjasama tersebut dilihat berpotensi mengubah konsep pemilikan hartanah daripada satu urus niaga kepada hubungan digital jangka panjang yang menghubungkan pemilik, profesional hartanah dan penyedia perkhidmatan melalui teknologi AI.
AI Living juga berpotensi menjadi antara projek perintis yang bukan sahaja memperkenalkan konsep kediaman berasaskan AI, malah meneroka semula maksud pemilikan hartanah dalam persekitaran teknologi kecerdasan buatan yang semakin berkembang.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
