‘Siasatan terhadap Muhammad Adlan selesai’ – SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan terhadap ahli perniagaan yang dikehendaki, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, 49, sudah selesai.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan perkara itu dan menjelaskan bahawa ia menjadi sebab pihaknya sedang giat mengesan individu berkenaan.

“Siasatan sudah selesai. Semua keterangan saksi sudah diambil,” lapor Harian Metro.

“Tinggal Adlan dan peguamnya saja untuk kembali bagi menghadapi pertuduhan,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas majlis penutupan Mesyuarat Principals ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) Ke-21, hari ini.

Katanya, SPRM akan meneruskan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan proses pengesanan dan tindakan lanjut terhadap individu berkenaan dapat diselesaikan dengan segera.

Terdahulu, media melaporkan, SPRM memaklumkan bahawa ahli perniagaan yang dikehendaki, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang juga menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai tinggal di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

Adlan meninggalkan negara ini menuju ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas Muhyiddin didakwa atas beberapa pertuduhan rasuah.

Peguamnya, Mansoor Saat, 70, turut melarikan diri. Beliau meninggalkan negara ini menuju ke Jakarta, empat hari selepas Adlan dan sejak itu tidak kembali.

Mansoor juga berdepan tuduhan pecah amanah yang berkaitan dengan projek National Enforcement & Registration (Biometrics) System (NERS) yang dibiayai melalui kemudahan sukuk bernilai RM595 juta.

Projek NERS bertujuan meningkatkan keselamatan negara melalui pengumpulan data biometrik. Namun, siasatan mendapati hampir RM50 juta hasil kutipan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sepatutnya digunakan untuk pembayaran balik sukuk diselewengkan.

Siasatan SPRM mengenal pasti Adlan dan Mansoor sebagai individu yang dipercayai terbabit dalam kes itu, yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Kedua-duanya sebelum ini mengeluarkan kenyataan melalui peguam masing-masing menafikan bahawa mereka melarikan diri bagi mengelak pendakwaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *