PUTRAJAYA – Mantan Timbalan Menteri Luar, Datuk Wira Marzuki Yahya menyokong penuh pandangan Mufti Perlis, Datuk Seri Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berhubung isu sambutan pemimpin dunia yang perlu dilaksanakan dengan beradab dan tidak keterlaluan.
Menurut beliau, kehadiran mana-mana pemimpin dunia ke Malaysia sememangnya wajar dilihat dari dua sudut utama iaitu diplomatik dan moral, bahkan, menyambut mereka atas dasar hubungan diplomatik antara dua kerajaan bukan satu kesalahan.
Katanya, ia merupakan sebahagian daripada urusan pentadbiran antarabangsa yang perlu dijaga bagi memastikan kestabilan serta peluang ekonomi dan keselamatan negara terus terjamin.
Namun, jelas beliau, Islam mengajar umatnya mengenai adab dan hikmah diplomatik dalam berinteraksi agar tidak berlebihan dalam penghormatan, termasuk kepada pihak yang tidak sehaluan dengan pandangan Islam.
“Seperti ditegaskan Dr. Maza, sambutan terlalu meriah dengan tarian, nyanyian dan riuh rendah sambil mengangkat tokoh yang telah secara terang-terangan menyokong kekejaman dan penindasan terhadap umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Palestin adalah sesuatu yang menyinggung hati nurani umat Islam,” katanya.
Menurut Marzuki, kehadiran seorang pemimpin seperti Donald Trump bukan sekadar kehadiran fizikal, tetapi membawa simbol kepada dasar dan ideologi yang telah lama menindas rakyat Palestin dan umat Islam.
“Beliau antara watak utama di sebalik keputusan besar yang mengukuhkan penjajahan Israel, termasuk pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan dasar-dasar veto yang menafikan hak rakyat Palestin untuk hidup bebas di tanah air sendiri,” jelasnya lagi.
Beliau berkata, apabila tokoh seperti itu disambut dengan tarian dan senyuman, mesej yang terhantar kepada dunia ialah umat Islam di Malaysia tidak kisah dengan kezaliman yang beliau lakukan.
Marzuki yang juga Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu turut memetik pandangan Dr. Maza bahawa jika Trump hadir ke negara Eropah pada waktu ini, beliau barangkali akan disambut dengan bantahan rakyat yang mempunyai kesedaran moral dan politik yang tinggi terhadap isu kemanusiaan.
“Malangnya, di banyak negara Islam, rakyat sering diserap ke dalam semangat kepatuhan tanpa sempadan terhadap pemimpin atau tetamu negara hingga terlupa bahawa Islam menuntut kita menegakkan keadilan dan menunjukkan pendirian terhadap kezaliman, walau dengan cara simbolik.
“Menyambut tetamu dengan sopan tidak salah, tetapi mestilah disertai dengan kesedaran moral. Kita tidak boleh menari kegembiraan seolah segala penderitaan umat Islam di Palestin dan tempat lain tidak wujud.
“Kita boleh mengadakan majlis rasmi, berjabat tangan dan menghormati protokol kerajaan, tetapi kita juga boleh menunjukkan umat Islam Malaysia mempunyai prinsip iaitu kezaliman tetap kezaliman, walau datang dari mana sekalipun,” jelasnya lanjut.
Justeru, katanya lagi, pandangan Dr. Maza menuntut masyarakat kembali memahami makna sebenar adab, iaitu bukan sekadar ketaatan kepada protokol, tetapi berpaksikan kepada nilai dan prinsip Islam yang tinggi — Islam yang tidak pernah mengajar umatnya bersikap pura-pura demi kelihatan ‘mesra’ di mata dunia.
“Kita boleh bersetuju untuk menghormati tetamu, tetapi tidak perlu menyanjung mereka secara berlebihan hingga menggadai maruah dan sensitiviti umat Islam sedunia,” ujar beliau.
Marzuki menegaskan, dalam hal ini, sambutan terhadap Donald Trump seharusnya ‘sekadar perlu’, tidak berlebihan dan pandangan tersebut adalah sangat wajar serta berasas.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
