LONDON – Enzo Maresca mengecam aksi tidak konsisten pemain Chelsea selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Sunderland di Stamford Bridge, sekali gus menamatkan rentetan empat kemenangan berturut-turut mereka dalam semua pertandingan.
Gol kemenangan dramatik pemain gantian Sunderland, Chemsdine Talbi pada masa kecederaan mengecewakan penyokong tuan rumah yang masih mengingati keghairahan kemenangan menewaskan juara bertahan Liverpool di gelanggang sama sebelum ini.
Maresca mengakui sukar menjelaskan bagaimana pasukannya mampu menundukkan Liverpool tetapi tewas pula kepada kelab yang baru dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Kami tidak cukup bagus dan dalam Liga Perdana kesannya boleh jadi teruk,” kata Maresca.
“Kalau tidak mampu menang, sekurang-kurangnya jangan kalah.
“Kalau mahu berada di kelompok atas, kami perlu konsisten. Menang empat perlawanan berturut-turut dan kemudian tewas begini, ia menunjukkan kami mudah berubah-ubah. Lebih baik kalau kami sentiasa bermain pada tahap pertengahan yang stabil.”
The Blues bermula garang apabila Alejandro Garnacho membuka jaringan seawal minit keempat selepas menerima hantaran Pedro Neto, memperdaya Nordi Mukiele dan melepaskan rembatan leret menewaskan Robin Roefs.
Namun Mukiele menebus kesilapannya apabila lontaran jauhnya mencetus kekalutan di kawasan penalti Chelsea sebelum Wilson Isidor menyamakan kedudukan untuk Sunderland.
Selepas itu, Chelsea dilihat buntu, hanya menguasai bola tetapi gagal menembusi pertahanan kental pelawat – satu lagi contoh kelemahan taktikal Maresca yang dianggap terlalu mudah dibaca lawan.
“Kami tidak banyak mencipta peluang,” kata Maresca.
“Kami bergelut dan kalau pemain tidak beraksi 100 peratus, sukar untuk menang. Walaupun ketika mendahului, kami kalah banyak perebutan bola dan bola kedua dan menentang pasukan seperti ini, ia satu kesilapan besar.” – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001