PEFEM Sambut Baik Peruntukan Industri Kreatif dalam Belanjawan 2026

KUALA LUMPUR – Persatuan Pembangunan Perniagaan Fesyen Malaysia (PEFEM) menyambut baik tumpuan semula kerajaan terhadap industri kreatif dan budaya menerusi Belanjawan 2026, yang memperuntukkan RM140 juta bagi memperkukuh ekosistem kreatif negara termasuk RM50 juta untuk menyokong seni, kraftangan dan perusahaan berasaskan warisan.

Walaupun langkah ini merupakan perkembangan positif dalam mengiktiraf ekonomi kreatif sebagai pemacu pertumbuhan negara, PEFEM percaya segmen fesyen dan tekstil, terutama berasaskan warisan seperti batik, songket dan tenunan perlu diberikan perhatian dan penyertaan yang lebih terancang dalam pelaksanaan dasar ini.

“Ini adalah hala tuju yang memberangsangkan untuk masa depan kreatif Malaysia.

“Fesyen bukan sekadar estetika. Ia adalah industri yang menyokong penggiat seni, memupuk inovasi dan membawa identiti negara ke persada dunia.

“Kami berharap lebih banyak peluang dan saluran akses diwujudkan untuk usahawan fesyen, pengeluar tekstil dan pereka tempatan mendapatkan manfaat daripada dana dan insentif kreatif ini,” kata Presidennya, Bkay Nair.

Penekanan Belanjawan 2026 terhadap pendigitalan, pembiayaan PKS serta insentif kelestarian membuka peluang baharu untuk usahawan fesyen berinovasi, daripada pasaran digital hinggalah kepada pengeluaran hijau dan kesediaan eksport.

Namun, PEFEM menegaskan, mekanisme pelaksanaan yang jelas, program peningkatan kapasiti dan kriteria pembiayaan yang inklusif amat penting supaya pereka dan perusahaan kecil turut menikmati manfaat sama seperti pemain industri besar.

“Ekonomi kreatif Malaysia hanya akan berkembang apabila reka bentuk, budaya dan perdagangan bergerak seiring.

“Kami membayangkan landskap dasar yang membolehkan pereka dan penggiat seni, terutama wanita dan belia, menjadi pencerita kreatif yang turut menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebagai platform nasional yang mewakili usahawan dan penggiat perniagaan fesyen di Malaysia, PEFEM akan terus bekerjasama dengan kementerian, agensi dan rakan industri bagi memperjuangkan strategi pembangunan jangka panjang termasuk latihan, pemudahcara eksport dan pembiayaan kreatif ke arah menjadikan Malaysia hab fesyen lestari serta berteraskan warisan di rantau ini. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *