PUTRAJAYA – Beberapa insiden jenayah melibatkan murid dan pelajar dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini menimbulkan persoalan serius mengenai tahap keselamatan di institusi pendidikan negara.
Kebimbangan ini disuarakan Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya susulan beberapa kejadian tragis termasuk kes kematian dan serangan seksual membabitkan pelajar sekolah menengah serta rendah di beberapa negeri.
Antara insiden yang menjadi perhatian awam ialah pelajar Tingkatan 3, Zara Qairina Mahathir meninggal dunia selepas disyaki menjadi mangsa dera sebelum jatuh dari bangunan sekolah.
Katanya, awal Oktober lalu pula murid Tahun Empat sebuah sekolah di Senawang, Negeri Sembilan ditemui meninggal dunia dengan siasatan masih dijalankan.
“Selang beberapa hari, seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 di sekolah Alor Gajah, Melaka menjadi mangsa serangan seksual oleh dua pelajar senior di dalam kelas.
“Kemudian, semalam, seorang pelajar Tingkatan 3 di sebuah sekolah di Bandar Utama, Selangor maut selepas ditikam pelajar Tingkatan 2 dalam kawasan sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Marzuki, siri kejadian itu jelas menunjukkan kelemahan ketara dalam aspek pencegahan dan pemantauan keselamatan di peringkat sekolah.
Ujarnya, setiap kali tragedi berlaku, jawapan klise ‘serah kepada polis’ sering diulang.
“Apa yang kita perlukan ialah tindakan segera dan pelan konkrit untuk memastikan tragedi sebegini tidak berulang.
Beliau berkata, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek perlu menunjukkan kepimpinan tegas dengan memperkenalkan pelan tindakan menyeluruh bagi memperkukuh keselamatan pelajar di semua sekolah.
Beliau antara lain turut mengemukakan beberapa cadangan selain menubuhkan Jawatankuasa Khas Keselamatan Sekolah bagi menilai dan memantau tahap keselamatan di semua sekolah.
“Cadangan saya ialah menyemak semula SOP keselamatan pelajar dan kawalan disiplin, termasuk pemantauan kawasan berisiko dan kawalan penggunaan telefon bimbit.
“Melaksanakan program pendidikan emosi dan psikososial secara menyeluruh untuk menangani tekanan, buli dan kecenderungan ganas dalam kalangan pelajar.
“Mengukuhkan kerjasama antara KPM, pihak polis, kaunselor, NGO dan komuniti setempat bagi mewujudkan sistem pencegahan awal yang berkesan,” katanya.
Katanya, sekolah bukan sekadar tempat menimba ilmu, ia perlu menjadi ruang selamat untuk anak-anak berkembang tanpa rasa takut.
Beliau turut menambah, jika kepimpinan kementerian gagal menunjukkan keupayaan menguruskan krisis keselamatan pelajar secara berkesan, adalah wajar menteri memberi ruang kepada kepimpinan baharu yang lebih berjiwa rakyat dan tegas dalam tindakan.
“Rakyat menuntut tindakan, bukan alasan. Keselamatan pelajar adalah tanggungjawab semua, namun tanggungjawab utama terletak pada kepimpinan kementerian,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001