Kecaman pemintasan dan penahanan anak kapal Global Sumud Flotilla oleh Tentera Laut Israel

PUTRAJAYA – Mantan Timbalan Menteri Luar, Datuk Wira Marzuki Yahya mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan tentera laut Israel yang telah memintas dan menahan kapal-kapal dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla, yang membawa bekalan perubatan dan makanan untuk rakyat Palestin di Gaza.

Lebih mendukacitakan, tegas beliau, seramai 12 daripada 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi itu telah disahkan ditahan oleh pihak Israel, manakala selebihnya belum diketahui status serta keadaan mereka sehingga kini.

“Ini merupakan satu perkembangan yang amat membimbangkan dan menuntut tindakan segera daripada pihak berkuasa.

“Perbuatan Israel ini satu pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS 1982) dan Konvensyen Geneva 1949, yang menjamin keselamatan misi kemanusiaan dan kebebasan pelayaran di perairan antarabangsa.

“Ia turut bertentangan dengan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan nilai-nilai asas hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Media antarabangsa melaporkan, 12 daripada 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla disahkan ditahan tentera Israel setakat ini, selepas kapal mereka dipintas semalam ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.

Menurut sistem pengesan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), setakat jam 11 pagi ini, sembilan lagi tidak diketahui status mereka manakala dua lagi masih dilihat meneruskan pelayaran.

Marzuki yang juga Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu berkata, tindakan tentera Israel itu memperlihatkan sifat angkuh dan tidak bertanggungjawab rejim Zionis yang selama ini kebal daripada kecaman dan tindakan tegas masyarakat antarabangsa, seringkali dilindungi oleh kuasa-kuasa besar.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Malaysia segera menggunakan segala saluran diplomatik dan undang-undang antarabangsa yang ada, termasuk melalui PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN bagi menjamin keselamatan serta pembebasan segera semua rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi berkenaan.

“Saya juga menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim menimbang semula jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Sidang ASEAN yang dijadualkan bulan ini, sebagai tanda protes terhadap kekejaman berterusan rejim Zionis dan kegagalan negara-negara kuasa besar untuk mengutuk atau menghentikan pencabulan hak asasi manusia oleh Israel.

“Malaysia mesti terus memperkukuh pendirian tegas dan konsisten dalam membela nasib rakyat Palestin serta memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan sejagat,” ujar beliau.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *