KUALA LUMPUR – JS Solar Holding Bhd berdepan tekanan keuntungan pada suku pertama tahun kewangan 2027 apabila kos penambahbaikan bagi beberapa projek yang sudah siap menyebabkan keuntungan kasar dan margin merosot, walaupun hasil kumpulan meningkat 26.2 peratus kepada RM30.27 juta.
Keuntungan kasar turun kepada RM2.55 juta daripada RM4.60 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala margin keuntungan kasar merosot kepada 8.4 peratus daripada 19.2 peratus.
JS Solar berkata, keuntungan kasar lebih rendah terutama berpunca daripada kos kerja penambahbaikan susulan perubahan dasar bagi beberapa projek yang sudah selesai tetapi masih berada dalam tempoh liabiliti kecacatan, sedangkan tiada hasil diiktiraf untuk mengimbangi kos berkenaan.
Tekanan itu turut menjejaskan keuntungan sebelum cukai (PBT), yang menyusut kepada RM0.47 juta daripada RM2.91 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT). merosot kepada RM0.19 juta berbanding RM2.07 juta setahun sebelumnya.
Selain keuntungan kasar yang lebih rendah, prestasi turut dipengaruhi perbelanjaan pentadbiran lebih tinggi akibat kerugian pertukaran asing tidak direalisasikan yang meningkat, kos kakitangan serta susut nilai hartanah, loji dan peralatan.
Pengarah Urusan JS Solar, Johnson Chai Jeun Sian berkata, walaupun keuntungan terjejas oleh kos yang ditanggung ke atas kerja penambahbaikan menurut perubahan dasar untuk projek tertentu yang telah siap semasa tempoh liabiliti kecacatan, serta perbelanjaan pentadbiran lebih tinggi, syarikat kekal fokus untuk mengurus kos pelaksanaan projek dan meningkatkan kecekapan operasi.
Jeun Sian berkata, pertumbuhan hasil pada suku berkenaan mencerminkan kemajuan lebih kukuh daripada projek kontrak yang sedang berjalan, dengan kumpulan terus memberi perhatian kepada pelaksanaan projek dan disiplin kos.
Segmen perkhidmatan kontrak menjadi pemacu utama hasil apabila sumbangannya melonjak kepada RM21 juta daripada hanya RM0.06 juta setahun sebelumnya, disokong kemajuan kerja yang lebih tinggi serta peningkatan nilai kerja yang diperakui bagi projek sedang berjalan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pertumbuhan itu sebahagiannya diimbangi sumbangan lebih rendah daripada perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) serta operasi dan penyelenggaraan (O&M), dengan segmen EPCC menyumbang RM9.20 juta pada suku berkenaan.
Dari sudut suku ke suku, hasil JS Solar meningkat 14.2 peratus daripada RM26.50 juta kepada RM30.27 juta, manakala keuntungan kasar naik 20.5 peratus daripada RM2.12 juta, menunjukkan peningkatan berbanding suku keempat tahun kewangan 2026 meskipun prestasi tahun ke tahun masih tertekan.
Jeun Sian berkata, permintaan terhadap penggunaan solar dan pemodenan grid terus menyediakan peluang kepada kumpulan.
“Kami akan terus mengejar kontrak baharu secara berhemat, sambil mengekalkan disiplin dalam pembidaan projek dan pengurusan kos untuk mengukuhkan margin kami dan menyokong prestasi kumpulan,” katanya.
Melangkah ke hadapan, JS Solar kekal optimis secara berhati-hati terhadap baki tahun kewangan dan akan memberi tumpuan kepada kontrak baharu, kawalan kos pelaksanaan serta peningkatan kecekapan operasi.
Setakat 30 Jun 2026, kira-kira RM24.18 juta hasil IPO sudah digunakan, dengan hanya sekitar RM20,000 berbaki bagi pengembangan perniagaan dan pemasaran selepas sebahagian dana diperuntukkan semula kepada modal kerja.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
