KUALA LUMPUR – Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Nash meluahkan rasa bangga terhadap kejayaan bapanya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD), sekali gus membuktikan usia bukan penghalang untuk terus menuntut ilmu.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Nash menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang membanggakan seluruh keluarga, selain menganggap bapanya sebagai sumber inspirasi dalam kehidupan.
Menurutnya, Ismail Sabri tidak pernah berhenti mencipta pencapaian yang membanggakan keluarga, malah semangat untuk terus menimba ilmu menjadi antara nilai yang sentiasa diterapkan kepada anak-anak.
Nash turut berkongsi pesanan Allahyarham datuknya kepada Ismail Sabri yang sering diulang bapanya kepada mereka sekeluarga.
“Jangan pernah berhenti menuntut ilmu, tidak kira berapa pun usia kita,” katanya memetik pesanan Allahyarham datuknya.
Beliau berkata, kejayaan terbaharu itu membuktikan Ismail Sabri terus berpegang kepada nasihat berkenaan, malah yakin Allahyarham datuknya pasti berasa bangga melihat pencapaian anaknya.
Lebih daripada sekadar meraikan kejayaan bapanya, Nash mengakui semangat yang ditunjukkan Ismail Sabri turut menyuntik dorongan kepadanya untuk menyambung pengajian.
Katanya, beliau sendiri mempunyai minat dalam bidang perundangan dan tidak menolak kemungkinan menjadikan bidang itu sebagai langkah baharu dalam perjalanan hidupnya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Tahniah sekali lagi, Pa! Terima kasih kerana sentiasa menjadi inspirasi buat kami sekeluarga,” katanya.
Kejayaan Ismail Sabri memperoleh PhD itu bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, malah membawa mesej bahawa usaha menuntut ilmu tidak seharusnya terhenti disebabkan faktor usia atau kedudukan seseorang.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
