Santai-Santai Seni Petang – Dikir, Monolog & Puisi Meriahkan Rumah Kebun Kg Cita Jaya

TANAH MERAH – Suasana seni di Kampung Cita Jaya, Batu 7, Tanah Merah, Kelantan bakal kembali meriah dengan acara Santai-Santai Seni Petang anjuran Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) pada 16 September ini, bermula jam 4.30 petang di Rumah Kebun Cikgu Sharifah dan Kassim.

Program ini adalah kesinambungan kepada Bengkel Penulisan Teater Siri I yang berlangsung di Kampung Permata, Kundang, Selangor pada 30 Julai hingga 1 Ogos lalu dan diteruskan dengan siri kedua di Kampung Cita Jaya pada 14 hingga 16 September 2025.

Acara santai ini menghimpunkan pelbagai bentuk persembahan seni yang dekat di hati masyarakat, antaranya dikir barat oleh anak-anak Kampung Cita Jaya yang akan menampilkan keindahan warisan tradisi.

Monolog oleh pelakon dan penulis muda, Sharifah Khadijah, yang dijangka membawa sentuhan segar hasil bimbingan bengkel.

Manakala fragmen teater yang lahir daripada karya para peserta, dipentaskan dalam suasana sederhana, tetapi penuh jiwa.

Lagu Puisi oleh penyair terkenal, Anbakri Harun, yang dijemput khas bagi menyerikan pentas petang tersebut.

Bengkel penulisan teater ini dibimbing oleh tokoh teater tanah air, Datuk Dinsman dengan penyertaan beberapa nama yang aktif dalam dunia penulisan dan seni pentas, termasuk Jamly Bahruldin, Manzaidi Mohd Amin, Sharifah Khadijah, Kassim Muhamad dan Abdul Razak.

Menariknya, sepanjang program tiga hari itu, peserta bukan sahaja menekuni teknik penulisan dan pementasan, malah turut melakukan lawatan ke Pejabat Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia di Machang pada 15 September bagi bertukar pandangan bersama Yang Dipertuanya, Fadzillah Hussin mengenai sejarah dan warisan kepahlawanan negeri Kelantan.

Menurut penganjur, penganjuran Santai-Santai Seni Petang ini diharap dapat mewujudkan ruang pertemuan antara masyarakat desa dengan dunia seni yang berakar umbi daripada budaya sendiri.

“Program ini diadakan bagi memperkukuh hubungan masyarakat desa dengan dunia seni, selain menyemarakkan warisan budaya tempatan melalui gabungan tradisi, teater dan puisi,” katanya.

Gabungan dikir barat, monolog, teater dan puisi bukan sahaja menjadi hiburan, malah wahana pendidikan seni untuk generasi muda.

Dengan latar Rumah Kebun yang damai dan suasana kampung yang mesra, acara ini dijangka memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung iaitu menyatukan tradisi lama dengan semangat baharu dalam berkarya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

2 thoughts on “Santai-Santai Seni Petang – Dikir, Monolog & Puisi Meriahkan Rumah Kebun Kg Cita Jaya

  1. Terbaik…Satu program Kesenian berhibur sambil berkenal antara satu sama dengan dramatis Dan aktivis setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *