YEREVAN – Cristiano Ronaldo dan Joao Felix masing-masing menjaringkan dua gol ketika Portugal mudah membelasah Armenia 5-0 awal pagi tadi, memberikan skuad kendalian Jose Martinez permulaan sempurna pada kempen kelayakan Piala Dunia.
Juara Liga Negara-Negara itu tidak berdepan banyak masalah mengekang ancaman terhad Armenia dan selepas gol keempat, mereka merehatkan beberapa tonggak utama sambil menggunakan momentum untuk mempamerkan gaya permainan lebih kreatif, sekali gus mengesahkan permulaan cemerlang dalam Kumpulan F.
Portugal hanya mengambil masa 10 minit untuk membuka tirai jaringan apabila Joao Cancelo meluru ke garisan tepi sebelum melambungkan hantaran tepat yang mudah ditanduk masuk Felix menewaskan penjaga gol lawan.
Ronaldo kemudian menggandakan kedudukan pada minit ke-21, menegaskan penguasaan Portugal apabila dia melepasi kawalan benteng pertahanan untuk menyudahkan hantaran lintang jarak dekat – gol antarabangsa ke-139 sepanjang kariernya.
Kekalahan Armenia bertambah parah apabila Cancelo menjaringkan gol ketiga pada minit ke-32 hasil kuisan ke belakang oleh Felix.
Seminit selepas babak kedua bermula, Ronaldo sekali lagi mencuri tumpuan dengan rembatan voli kencang dari jarak jauh yang meluncur deras ke gawang.
Penjaga gol Armenia, Henri Avagyan hanya sempat menyentuh sedikit bola itu tetapi gagal menafikannya.
Gol keempat itu mengesahkan dominasi Portugal, membolehkan mereka bermain dengan lebih bebas sambil mencari cara kreatif mencipta peluang tambahan.
Pada minit ke-61, Felix mempamerkan gabungan tuah dan kepintaran apabila dia meluru ke dalam kotak penalti untuk menyambar bola lantunan hasil rembatan yang dihalang.
Bola itu seolah-olah melepasi kawalannya, tetapi penyerang muda itu sempat melakukan sentuhan bijak dengan tumit belakang untuk menjadikan kedudukan 5-0.
Portugal hampir menambah gol keenam di hujung perlawanan, namun Avagyan melakukan dua aksi menyelamat cemerlang sebelum pengadil meniup wisel penamat sebaik masa kecederaan bermula, menutup pesta jaringan pasukan pelawat. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
