SUASANA Kampung Citajaya, Tanah Merah, Kelantan bakal hidup dengan denyut seni apabila Bengkel Penulisan Skrip Teater dan Persembahan Monolog berlangsung selama tiga hari, menghimpunkan sekitar 80 tetamu melibatkan penulis, belia dan masyarakat setempat.
Program anjuran Pertubuhan Karyawan Seniman Malaysia (PAKSI) yang bermula pada 14 hingga 16 September ini, bakal membawa misi besar, iaitu menyemai minat, membina bakat serta memperkukuh jaringan seni dan budaya di peringkat akar umbi.
Bengkel ini mendapat suntikan tenaga daripada barisan penceramah dan fasilitator berpengalaman yang datang dari Kuala Lumpur yang juga penulis skrip teater prolifik yang telah lama mengangkat karya pentas tanah air, Datuk Shamsuddin Othman atau lebih dikenali Dinsman.
Kehadiran beliau bukan sekadar memberi panduan teknikal, tetapi juga menjadi pemangkin semangat kepada generasi baharu untuk berani berkarya.
Bengkel ini tidak hanya terikat pada aspek penulisan semata-mata, tetapi membawa visi yang lebih luas dan berlapis.
Antara objektif utama ialah memberi pendedahan mengenai teknik dan kaedah penulisan skrip teater, yang mana peserta akan diperkenalkan kepada asas membina watak, konflik, struktur dramatik serta gaya penceritaan yang mampu memikat khalayak.
Melatih bakat baharu dalam bidang penulisan kreatif khususnya teater dengan golongan belia dan penulis muda diberi ruang untuk bereksperimen, berkongsi idea serta mengasah kreativiti dalam suasana yang kondusif.
Mewujudkan ruang apresiasi seni melalui persembahan monolog, iaitu selain menulis, peserta berpeluang merasai pengalaman menghidupkan skrip di atas pentas, sekali gus memahami bagaimana teks dan lakonan saling melengkapi.
Mengukuhkan jaringan antara penulis, penggiat seni dan masyarakat, iaitu bengkel ini dijadikan wadah pertemuan, membuka peluang kerjasama dan menyalakan hubungan berpanjangan antara individu pelbagai latar.
Mendedahkan masyarakat tempatan kepada teater sebagai medium pembangunan minda dan nilai.
Melalui aktiviti ini, masyarakat disedarkan bahawa seni teater bukan sekadar hiburan, tetapi medan pendidikan, refleksi sosial dan pembentukan insan yang lebih berdaya.
Salah satu tarikan utama program ini ialah persembahan monolog yang dijayakan pada hari terakhir.
Monolog bukan sahaja menguji kemampuan peserta menulis dan melakonkan skrip, malah mengajak penonton menghargai seni pementasan dalam bentuk yang ringkas, tetapi sarat emosi.
Persembahan ini juga memberi peluang kepada masyarakat kampung menyaksikan hasil tangan peserta secara langsung, menjadikan bengkel lebih bermakna kerana ia dikongsi bersama khalayak.
Lebih daripada sekadar latihan penulisan, bengkel ini mengangkat seni teater sebagai platform kehidupan.
Ia menegaskan bahawa seni mampu melahirkan insan berfikiran terbuka, berdisiplin serta berjiwa halus. Nilai yang ditanam dalam proses berkarya seperti kerja berpasukan, empati dan keberanian menyuarakan pandangan, diyakini dapat membimbing individu menjadi insan berjaya dalam lapangan apa pun.
Dengan penglibatan masyarakat Kampung Citajaya sebagai peserta dan penonton, bengkel ini diharap menjadi titik mula kepada sebuah budaya baharu, iaitu budaya menghargai seni di peringkat desa.
Kehadiran 80 tetamu melibatkan pelbagai latar iaitu penulis, belia dan penduduk kampung melambangkan keterbukaan serta keinginan bersama untuk menjadikan seni sebagai sebahagian daripada kehidupan harian.
Program ini diharap akan melahirkan penulis skrip muda yang berani menampilkan idea segar, mengangkat kisah tempatan ke pentas nasional serta membina generasi penulis yang tidak gentar bersaing di peringkat global.
Lebih daripada itu, ia membuka jalan agar seni teater terus berakar dalam masyarakat sebagai wahana ilmu, hiburan dan pembentukan karakter.
Dengan kejayaan penganjuran bengkel ini, Kampung Citajaya bukan sahaja dikenang sebagai lokasi pertemuan seni, tetapi juga simbol usaha kolektif masyarakat dalam memartabatkan warisan kreatif bangsa. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001