SHAH ALAM – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengakui wujud kelemahan dalam kawalan keselamatan ketika insiden seorang wanita menaiki pentas, di mana Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sedang berucap sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri pada 31 Ogos lalu.
Katanya, kerajaan negeri mengambil tanggungjawab penuh atas apa yang berlaku dan menegaskan pentingnya kesiapsiagaan serta penambahbaikan prosedur keselamatan untuk mengelak kejadian serupa di masa hadapan.
Katanya, insiden itu berlaku secara luar jangkaan dan dalam tempoh sangat singkat, justeru tiada pihak yang akan disalahkan.
“Ia berfungsi sebagai “wake-up call” untuk semua agar lebih peka terhadap aspek keselamatan, bukan sahaja untuk pemimpin negeri, tetapi juga tokoh awam yang menarik ramai orang,” katanya.
Beliau turut memuji ketenangan Sultan Nazrin, yang meneruskan upacara seperti dirancang dan tetap beramah mesra dengan rakyat selepas kejadian, sekali gus mencipta suasana yang terkawal tanpa panik.
Insiden itu berlaku sekitar jam 8.20 pagi ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang dimainkan.
Seorang wanita tempatan berusia 41 tahun meloloskan diri ke atas pentas melalui sisi dan cuba memeluk Sultan Nazrin dalam kejadian kira-kira 40 saat sebelum wanita terbabit ditahan anggota keselamatan.
Pemeriksaan awal mendapati wanita itu mempunyai rekod kes dadah dan sedang dalam rawatan psikiatri, manakala ujian air kencing pada masa itu pula negatif.
Selepas reman tamat, wanita itu dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di bawah Akta Kesihatan Mental (2001) dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, seterusnya ke Pejabat Peguam Negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001