PUTRAJAYA – Umat Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia akan memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, insan agung yang diutuskan sebagai rahmat kepada sekalian alam.
Sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar acara tahunan, tetapi detik untuk umat Islam menilai semula sejauh mana mereka meneladani akhlak, kepimpinan dan perjuangan Baginda.
Rasulullah SAW bukan sahaja pemimpin spiritual, malah negarawan ulung yang menyatukan umat Arab yang sebelumnya berpecah belah, ucap Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya.
Dalam perutusan sempena Maulidur Rasul, kata beliau, dengan hikmah, keadilan dan kasih sayang, Baginda mengangkat martabat umat sehingga menjadi ummah yang kuat dan dihormati.
“Inilah teladan yang sepatutnya menjadi panduan umat Melayu-Islam hari ini. Kita melihat dunia hari ini penuh dengan perpecahan, fitnah dan perbalahan sesama sendiri.
“Umat Islam sering leka dengan sengketa kecil hingga melupakan musuh sebenar iaitu kemungkaran, kezaliman dan penindasan.
“Maulidur Rasul harus menjadi seruan untuk umat Melayu-Islam di Malaysia kembali bersatu, mengetepikan politik sempit dan meletakkan kepentingan agama serta bangsa di hadapan,” katanya.
Menurutnya, tanpa kesatuan, umat akan mudah diperalatkan sebagaimana Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 103 jelas mengingatkan: “Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai…”
Kata Marzuki, peringatan Maulidur Rasul juga menuntut umat Islam menolak segala bentuk kemungkaran, sama ada dalam bentuk maksiat yang merosakkan akhlak, rasuah yang meruntuhkan negara atau penindasan yang menafikan hak rakyat.
“Umat Melayu-Islam tidak boleh sekadar berdiam diri apabila nilai agama dipermainkan dan maruah bangsa dicabar.
“Sempena Maulidur Rasul tahun ini, marilah kita memperbaharui tekad untuk mencontohi Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian, dengan memperkukuh iman, memperbaiki akhlak dan memupuk perpaduan.
“Umat Melayu-Islam mesti bangkit sebagai benteng menolak kemungkaran, sekaligus menjadi ummah yang kuat, disegani dan dirahmati,” katanya.
Jelanya lagi, sesungguhnya, cinta umat Islam kepada Nabi Muhammad SAW tidak hanya dengan selawat di bibir, tetapi dengan kesungguhan menegakkan syiar Islam dan menjaga kesatuan umat. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
