LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Arne Slot, memuji mentaliti pasukannya selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Arsenal, di Anfield.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan menerusi sepakan percuma menakjubkan Dominik Szoboszlai pada minit ke-83, sekali gus memberikan Arsenal kekalahan pertama musim ini.
Juara bertahan itu kini mengekalkan rekod sempurna dengan tiga kemenangan berturut-turut – menewaskan Bournemouth, Newcastle United, dan Arsenal – sekali gus menuju ke rehat perlawanan antarabangsa dengan keyakinan tinggi.
“Saya paling gembira dengan mentaliti pasukan. Kami membawa masuk ramai pemain baharu. Kemudian memulakan musim menentang Bournemouth, berkunjung ke Newcastle, dan kemudiannya bertemu Arsenal di Anfield – salah satu daripada tiga atau empat perlawanan paling sukar musim ini. Tetapi kami sudah menunjukkan kemampuan kami,” kata Slot.
Slot mengakui Liverpool masih belum sempurna, tetapi menegaskan bahawa etika kerja keras pemain menjadi kunci kejayaan.
“Kami bukanlah sempurna, tetapi semua mahu bekerja keras untuk memastikan keputusan memihak kepada kami. Jika tidak silap saya Michael Jordan pernah berkata, ‘semakin keras kita bekerja, semakin bertambah tuah kita’, dan itu benar untuk pasukan ini,” katanya.
Pengendali itu turut memuji persembahan Szoboszlai, yang membuat kejutan apabila diturunkan sebagai bek kanan.
“Dia faham apa yang sepatutnya ditampilkan oleh seorang pemain Liverpool. Jika anda memakai jersi ini, anda perlu berikan segalanya, tidak kira di posisi mana anda bermain. Ia satu perlawanan luar biasa daripadanya, walaupun mungkin hanya kali kedua atau ketiga dia beraksi di posisi itu sepanjang hidupnya,” tambah Slot. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001