Dari Meja Editorial
MENURUT Lawyers for Liberty, RUU URA (Pembangunan Semula Bandar) bercanggah dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak milik harta.
Klausa 21 membenarkan pihak berkuasa mengisytiharkan kawasan atau bangunan berusia lebih 30 tahun sebagai “kawasan pembaharuan bandar” dengan hanya 75 peratus atau 51 peratus persetujuan, membenarkan rampasan paksa tanpa konsensus penuh.
Proses ini dianggap sebagai “kuasa mutlak” yang mengikis hak rakyat secara serius atau dengan kata lain, melanggar hak pemilikan hartanah rakyat – ancaman perlembagaan.
Hal ini mencetuskan ketidaksaksamaan mencolok dengan Perkara 8, kerana undang-undang tidak boleh menjadikan hak perlembagaan seperti Perkara 13 sebagai “ilusi” atau “bayangan semata-mata”.
RUU URA menetapkan ambang persetujuan yang dikira terlalu rendah iaitu antara 75 hingga 80 peratus pemilik untuk bangunan melebihi 30 tahun, manakala 51 peratus untuk rumah terbiar atau terbengkalai.
Kebimbangan ini ditimbulkan oleh peguam Surendran, ADUN PN di Selangor, dan Mohamad Shafiq Abdul Halim kerana ambang ini membuka peluang untuk tekanan terhadap pemilik minoriti dan dilihat sebagai bentuk “tirani majoriti”.
Wan Saiful Wan Jan secara tegas menyeru kerajaan menangguhkan pembentangan RUU sebelum semua isu diselesaikan, termasuk ambang yang arbitrari dan ketidakadilan dalam pampasan.
Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik RUU URA kerana memperkukuhkan ketidaksaksamaan ekonomi.
Beliau menegaskan golongan kaya akan mampu membeli tanah golongan miskin dan membina hartanah bernilai tinggi, sedangkan pemilik asal tidak mendapat manfaat, sebaliknya semakin terpinggir.
Paradigma ini diperkuat lagi oleh Fauzi Abu Bakar (PAS) dan Ir. Ts. Nurul Islam, yang khuatir bahawa pembangunan semula akan membina kondominium mewah, sekali gus menyingkirkan golongan B40 yang tidak mampu membeli kembali rumah mereka.
Pemimpin seperti Tan Sri Noh Omar menyuarakan rasa takut RUU ini adalah taktik halus untuk “menyingkirkan” golongan Melayu miskin dari kawasan bandar.
Penyertaan hartanah mereka diganti dengan kondominium mewah dan tidak mampu menanggung yuran penyelenggaraan tinggi sehingga risiko penyitaan tinggi.
Pendekatan ini dianggap tidak adil dan menggugat hak warisan masyarakat bandar tradisional.
Pembangkang membidas kerajaan kerana tidak menyediakan “blue bill” atau dokumen lengkap RUU URA sehingga saat akhir, menimbulkan keraguan terhadap niat sebenar kerajaan.
Tambahan lagi, pandangan Zulkefli Bujang (Bersatu Johor Bahru) menekankan pentingnya libat urus menyeluruh sebelum RUU dibentangkan untuk menjaga keadilan.
Pakatan Pembangkang juga menggesa penubuhan jawatankuasa khas bersama pihak berkepentingan untuk meneliti cadangan URA dengan teliti.
Semua Ahli Parlimen pembangkang menentang habis-habisan RUU ini. Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, bahkan sanggup digantung Parlimen selama enam bulan untuk menunjukkan keseriusan penentangan ini.
Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden PAS) mempersoalkan ketelusan libat urus kerajaan dan meramalkan bantahan rakyat akan terus membesar dan mungkin menjadi momentum untuk menjatuhkan kerajaan.
Persoalan yang timbul, adakah kerajaan perlu memansuhkan URA, atau cukup ditangguhkan sehingga proses telus dan adil dilaksanakan?
Bagaimana jika libat urus diperkukuh dan persetujuan 100% diperlukan? Adakah ini akan lebih diterima?
Apakah bentuk pampasan yang adil untuk pemilik asal supaya mereka tidak terpinggir? – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001