AGC Arah Polis Gali Semula Kubur Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan rasmi kepada polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin bagi tujuan siasatan lanjut berhubung kematiannya yang dilaporkan menimbulkan pelbagai persoalan.

Dalam kenyataan pagi ini, AGC menegaskan, langkah itu dibuat selepas meneliti semula laporan perubatan, keterangan saksi serta dokumen siasatan yang dikemukakan polis sebelum ini.

Arahan tersebut, menurut AGC, penting bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan tanpa sebarang keraguan.

“Jabatan Peguam Negara telah meneliti semua aspek berkaitan kes Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.

“Berdasarkan semakan lanjut, satu ekskavasi dan bedah siasat kedua (exhumation and second post-mortem) diperlukan bagi menjawab beberapa persoalan forensik yang masih belum terjawab,” kata kenyataan itu.

Allahyarham Syamsul Haris, 22, dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi, Johor, ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.

Jenazahnya dikebumikan pada 29 Julai di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu.

Pihak keluarga Allahyarham juga sebelum ini pernah membuat aduan rasmi, mendesak supaya kubur digali semula kerana mereka yakin wujud elemen yang belum dirungkai sepenuhnya.

Menurut sumber, proses menggali semula kubur hanya boleh dilakukan setelah mendapat kelulusan rasmi daripada mahkamah berdasarkan permohonan polis yang disokong arahan Jabatan Peguam Negara.

Prosedur ketat termasuk pengawasan pegawai perubatan forensik, pegawai agama serta wakil keluarga si mati akan dilaksanakan sepanjang proses tersebut.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *