SHAH ALAM – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) memandang serius insiden bendera Malaysia yang dikibarkan dalam keadaan terbalik.
Perbuatan itu bukan lagi boleh dianggap sebagai kecuaian semata-mata, tetapi berkemungkinan tindakan yang mempunyai maksud tersirat dan disengajakan.
Bendera adalah simbol kedaulatan negara, kalau disengajakan memasangnya secara terbalik bererti menghina negara.
Oleh itu, tegas Ketua Penerangan Perkasa, Irwan Fahmi Ideris, tindakan sedemikian perlu disiasat secara menyeluruh bagi mengenal pasti niat sebenar di sebalik perbuatan tersebut.
Beliau menyenaraikan kes pemasangan bendera terbalik sepanjang bulan ini, iaitu di Pulau Pinang, seorang peniaga ditahan selepas video Jalur Gemilang terbalik di premisnya tular dan kes disiasat kerana dipercayai mungkin disengajakan.
Di Bertam, Kepala Batas, Jalur Gemilang dikeasn terbalik di sebuah kedai perkakasan dengan CCTV menunjukkan ia berlaku kerana bendera berpusing akibat angin, namun tetap menimbulkan keresahan awam.
Di sebuah hotel di Segamat pula bendera negeri Johor dipasang terbalik oleh pekerja warga asing dan kes disiasat di bawah Akta Lambang dan Nama serta Kanun Keseksaan.
Sebuah sekolah di Port Dickson, Negeri Sembilan, kesilapan pekerja OKU memasang bendera terbalik dan pihak sekolah segera memohon maaf.
Kuala Kangsar, Kedah, seorang lelaki warga emas ditahan kerana memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah bangunan.
Sungai Buloh, Selangor, satu video lama tular menunjukkan bendera dipasang terbalik sehingga mencetuskan kekeliruan masyarakat.
Menurut beliau, jika perkara itu berlaku di negara China, hukuman berat dikenakan kerana diklasifikasikan sebagai perbuatan menghina negara.
“Di China, sesiapa yang menghina bendera kebangsaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun serta denda yang tinggi.
“Perkasa menegaskan, Malaysia juga perlu mempunyai undang-undang tegas dan penguatkuasaan yang jelas bagi memastikan maruah negara dan kedaulatan bendera tidak dipijak oleh mana-mana pihak.
“Tindakan sambil lewa terhadap isu ini akan membuka ruang kepada pihak yang mempunyai agenda tertentu untuk terus mencabar kedaulatan negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden itu.
Mengenakan hukuman setimpal jika terbukti dilakukan dengan sengaja dan menambah baik peruntukan undang-undang agar hukuman lebih berat dapat dikenakan kepada pelaku.
Katanya, bendera bukan sekadar kain berwarna, ia adalah lambang maruah negara, yang wajib dipertahankan oleh setiap rakyat Malaysia.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001