Khemah UDM Lubok Gong – Kedai Lama Johan

RANTAU PANJANG – Khemah Unit Daerah Mengundi (UDM) Lubok Gong – Kedai Lama menjuarai khemah terbaik sempena Karnival Cakna Rakyat DUN Gual Periok, yang diadakan di pekarangan Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) di sini, kelmarin.

Naib johan, UDM Pekan Rantau Panjang, manakala UDM Kedai Gual Periok tempat ketiga.

Sebanyak 10 khemah UDM dipertandingkan masing-masing mempamerkan barang-barang antik, meletak burung, ayam dan kambing di hadapan khemah memandangkan kiraan markah berdasarkan hiasan khemah, kekuatan AJK dan peserta sukan rakyat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad, karnival tersebut membawa kelainan tahun ini apabila pertama kalinya bertema busana tradisional Melayu sebagai usaha mengangkat semula nilai jati diri dan warisan budaya bangsa.

Beliau menegaskan, kepentingan mengembalikan semula adab dan nilai-nilai murni Melayu seperti lemah lembut, bersopan santun, menghormati jiran dan ibu bapa yang suatu ketika dahulu menjadi asas kekuatan bangsa Melayu.

“Kita orang Melayu hebat. Tunjukkan jati diri kita. Kita bukan bangsa yang lemah atau mudah diperkecilkan,” katanya ketika berucap merasmikan karnival itu.

Beliau turut menyatakan komitmennya untuk memperkenalkan semula busana tradisional kepada generasi muda agar mereka lebih menghargai warisan bangsa dan tidak hanyut dengan budaya luar.

Sempena karnival itu, Kamaruzaman turut mengajak masyarakat yang memerlukan bantuan agar menghubungi tok penghulu dan beliau akan mengutamakan mereka yang benar-benar layak serta memerlukan.

Pelbagai acara menarik diadakan sepanjang karnival tersebut termasuk sukan rakyat, pameran agensi kerajaan, khidmat kesihatan percuma dan 40 cabutan nombor bertuah berupa hamper, barangan elektrik dan sebuah motosikal Modenas Kriss yang mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *