4 kemalangan maut dilapor babit peserta RXZ Members, kata polis

PETALING JAYA – Empat kes kemalangan maut direkodkan membabitkan peserta Program RXZ Members 7.0 2025, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Mohd Yusri Hassan Basri.

Sehubungan itu, beliau menasihati para peserta supaya lebih berhati-hati ketika dalam perjalanan pulang, yang dijangka bermula malam ini hingga esok, selain tidak melakukan aksi berbahaya termasuk ‘Superman’.

Beliau turut menggalakkan peserta program itu bergerak secara berkumpulan, yang menurutnya lebih selamat, lapor Bernama.

“Jika penat atau mengantuk, berhenti di kawasan rehat dan rawat bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya selepas Majlis Perasmian Program RXZ Members 7.0 2025 di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, dalam memantau dan memeriksa peserta yang terlibat, polis mengambil pendekatan lebih kepada mendidik dan memudah cara urusan mereka.

“Fokus kita kali ini adalah mendidik serta membantu kelancaran program … walaupun ada pemantauan dan kawalan, ia lebih kepada nasihat dan memudah cara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairuddin berkata, tiada sebarang saman dikeluarkan terhadap peserta acara itu setakat ini.

Beliau juga berkata, tiada aduan rasmi diterima daripada orang awam berkaitan disiplin atau salah laku penunggang motosikal terbabit.

“Penyertaan tahun ini lebih ramai berbanding tahun lepas tetapi setakat ini, kita tidak terima sebarang aduan mengenai ketidakselesaan atau salah laku peserta program,” katanya. – Laporan FMT

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *