Kempen Kibar Jalur Gemilang nampak hambar, hanya gah pada slogan

KIBARAN Jalur Gemilang kian sepi di jalanan dan halaman rumah. Sama sepinya dengan semangat rakyat Malaysia yang semakin luntur dalam memperingati hari kemenangan negara dari penjajah.

Kenapa Bulan Kemerdekaan terasa hambar? Kerana simbol perjuangan bangsa dipandang sambil lewa. Jika rakyat terus alpa dan pemimpin hanya pandai beretorik, semangat kebangsaan akan mati, bukan di medan perang, tetapi di tanah air sendiri.

Bulan Kemerdekaan hadir lagi setiap tahun dalam bulan Ogos, namun tanah air ini terasa semakin sunyi. Jalur Gemilang yang sepatutnya berkibar megah di setiap jalan, rumah dan bangunan kini hilang dari pandangan.

Apa sudah jadi dengan bangsa ini? Apakah kita sudah terlalu penat, terlalu kecewa hingga tidak lagi peduli pada panji negara sendiri?

Jika begini keadaannya, jangan salahkan sesiapa apabila semangat kebangsaan kita perlahan-lahan dikuburkan, bukan oleh musuh luar, tetapi oleh kelalaian kita sendiri.

Setiap tahun kerajaan melaungkan kempen “Kibarkan Jalur Gemilang”. Poster dipacak, lagu patriotik diputarkan, ucapan pemimpin disiarkan. Tetapi selepas itu, apa yang tinggal? Bendera yang hanya berkibar di bangunan kerajaan, sementara di jalanan, premis perniagaan, malah rumah rakyat dibiarkan kosong.

Penulis masih ingat, kempen “Kibarkan Jalur Gemilang” yang dilancarkan secara besar-besaran pada era akhir 1990-an dan awal 2000-an, khususnya menjelang sambutan Hari Kebangsaan 1997 dan 1998.

Kempen ini dipopularkan oleh kerajaan melalui Kementerian Penerangan, RTM, Bernama dan jabatan kerajaan lain.

Ia menjadi ikonik semasa kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, apabila rakyat digesa mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat, kenderaan dan bangunan persendirian.

Semangatnya ia memuncak menjelang Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur dan juga sambutan Merdeka ke-50 pada 2007 menerusi Kempen Jalur Gemilang 50 Tahun.

Selepas kepemimpinan bertukar tangan dan pemimpin pelapis mengambil alih, kemeriahan kempen Kibar Jalur Gemilang semakin luntur setahun demi setahun.

Retorik tanpa jiwa inilah yang membunuh semangat rakyat. Bagaimana mahu mengharapkan rakyat bersemangat, jika pemimpin sendiri sibuk berebut kuasa, menabur janji, tetapi gagal menunaikannya?

Jika rakyat makin hambar, punca pertamanya adalah kegagalan kepimpinan yang tidak mampu menyalakan api patriotisme dengan tindakan, bukan kata-kata.

Namun, rakyat juga tidak boleh hanya menuding jari. Mengibarkan Jalur Gemilang bukanlah satu beban berat. Ia sekadar simbol kecil, tetapi besar maknanya.

Jika rakyat pun terlalu malas atau sambil lewa, ertinya kita sedang membiarkan roh kemerdekaan mati sedikit demi sedikit.

Patriotisme tidak cukup di media sosial. Laungan “Sayangi Malaysia” di dunia maya tidak bermakna jika tiang rumah dibiarkan kosong tanpa Jalur Gemilang. Cinta negara perlu dizahirkan di ruang nyata, bukan hanya dihias di skrin telefon.

Jalur Gemilang bukan sekadar kain. Ia lambang maruah, pengorbanan dan kedaulatan. Jika bendera ini terus tidak dikibarkan, kita sedang mendidik generasi muda bahawa perjuangan bangsa tidak lagi bernilai.

Kerajaan perlu berhenti bermain dengan slogan. Cukup dengan retorik. Tunjukkan kesungguhan melalui dasar yang membela rakyat, kepimpinan yang bersih dan program yang benar-benar menyemarakkan semangat patriotisme.

Rakyat pula mesti sedar, mencintai negara bukan sahaja dengan kritikan, tetapi juga dengan tindakan kecil yang bermakna. Jalur Gemilang perlu dikibarkan, bukan hanya sebagai hiasan, tetapi sebagai ikrar bahawa kita tidak lupa asal-usul perjuangan bangsa ini.

Jika Jalur Gemilang terus sepi, itu bukan sekadar masalah sambutan hambar. Itu tanda kita sendiri sedang menggali liang kubur bagi semangat kebangsaan. Kibarkan bendera, atau akuilah bahawa kita sedang menguburkan roh kemerdekaan dengan tangan kita sendiri. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *