SHAH ALAM – Laporan terbaru mengenai penarikan diri pelabur Korea Selatan daripada projek LRT Langkawi adalah sangat membingungkan.
Ini bukan kali pertama perkara ini berlaku, malah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md. Noor digesa mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan itu dan tidak lagi mengumumkan pelaburan yang belum pasti boleh serta mampu dilaksanakan.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, sebelum ini, di bawah pimpinan Pas, Kedah telah menyaksikan penarikan diri kumpulan Bin Zayed dari Dubai daripada projek Langkasuka yang dikatakan bernilai RM40 bilion.
Begitu juga, katanya, kumpulan Al-Bukhary menjauhkan diri daripada projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim apabila pelaburan besar tidak terlaksana kerana tiada keyakinan, sekali gus menjejaskan imej Kedah.
“Hakikatnya, majoriti pelaburan ke dalam Kedah berlaku di Kulim Hi-Tech Park, yang diterajui agensi Kerajaan Persekutuan seperti MIDA dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Jika tiada Kulim Hi-Tech Park, ekonomi Kedah boleh lumpuh kerana kerajaan negeri tidak mampu untuk memacu hub perindustrian berskala besar di luar Kulim.
“Begitu juga dengan projek Kedah Rubber City di Kuala Nerang yang mana kita dapat saksikan pengumuman pelaburan bernilai tinggi termasuk daripada Shandong Linglong dan Prinx Chengshan,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, Kedah Rubber City itu adalah projek Kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), di mana Pengerusi NCIA adalah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong juga telah memberitahu Dewan Rakyat, Kerajaan Madani sedang mempertimbangkan insentif khas kepada pelabur, terutama mereka di Kedah Rubber City, sekiranya menggunakan pelabuhan domestik yang berhampiran.
“Ini membuktikan Kerajaan Madani tidak menganaktirikan Kedah walaupun MB Kedah berulang kali menyalahkan Kerajaan Persekutuan atas kemiskinan di negeri Jelapang Padi itu.
“Malahan, MB Kedah sendiri mengakui jumlah pelaburan RM4.2 bilion yang diterima negeri tersebut pada suku pertama 2025 dipacu oleh Kulim Hi-Tech Park dan Kedah Rubber City, di mana kedua-dua projek ini diterajui Kerajaan Madani.
“Jika projek di bawah penyeliaan Kerajaan Madani boleh berjaya, mengapa berlaku penarikan diri pelabur daripada projek yang diumumkan oleh kerajaan negeri?,” katanya.
Muhammad Faiz turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri gopoh mengumumkan sesuatu projek dan adakah kaji selidik atau “due diligence” projek berkenaan benar-benar berpotensi dan kebolehlaksanaan (feasibility) telah dibuat secara teliti?
Beliau juga memberi contoh, projek LRT Langkawi dan Langkasuka, sepatutnya, Langkawi terlebih dahulu disediakan dari segi infrastruktur, tarikan dan hub komersial sebelum kerajaan negeri mengumumkan projek bernilai berbilion ringgit.
“Jelas, corak pentadbiran Pas ini menunjukkan ketidakmampuan mereka untuk mentadbir dengan baik. Ketidakmampuan ini meletakkan Pas tidak layak menyamakan perjuangan mereka dengan tuntutan Islam berkaitan karektor sebuah negara yang makmur (baldatun thayyibatun).
“Kedah adalah sebuah negeri yang berpotensi tinggi, tetapi potensi ini hanya dapat direalisasikan oleh sebuah kerajaan yang bijak mentadbir dan bukannya sibuk menunggang agama dan kaum untuk kepentingan politik.
“Rakyat negeri Kedah perlu sedar untuk menilai keperluan menjadi kerajaan,” ujarnya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001