KUALA LUMPUR – Saman mencabar keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen dan Perdana Menteri membuktikan Perikatan Nasional (PN) dan pembangkang tiada sokongan majoriti untuk mengusulkan undi tidak percaya terhadap PM.
Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, didorong kegagalan mendapat sokongan majoriti itu menyebabkan mereka menyokong pemfailan saman tersebut.
Katanya, kenyataan Rafique Rashid dari parti Pejuang dan P. Ramasamy dari parti Urimai hari ini berkaitan saman tersebut kononnya ia adalah tindakan sah kerana dibuat melalui proses mahkamah hanyalah alasan remeh.
“Jangan lupa kepada istilah salah guna proses mahkamah (abuse of the process of court) kerana saman tersebut difailkan setelah tiga tahun pilihan raya umum berlalu.
“Usia kerajaan Madani yang dibentuk melalui pelantikan Anwar sebagai PM juga sudah tiga tahun, tetapi masih mengungkit mengenai kesahihannya.
“Sungguhpun prinsip undang-undang sudah jelas bahawa pelantikan PM adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, sebab itu tindakan saman tersebut merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut beliau, PN seolah tiada idea positif untuk menjadi pembangkang yang matang dan konstruktif.
Katanya, ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang, mereka mampu menyediakan belanjawan bayangan dan melontarkan pelbagai idea serta formula penyelesaian isu ekonomi dan rakyat.
“Bagaimanapun, PN gagal berbuat demikian. Ketika mana kerajaan sedang membentangkan RMK-13, PN sibuk menunggang isu keabsahan PM. Ia satu tindakan yang regresif dan ibarat sebuah tin kosong,” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

