Nik Saiful Adli Burhan

Mencabar keabsahan PMX: Suatu salah tafsir undang-undang yang serius

KOTA BHARU – Tindakan seorang bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri memfailkan saman bagi mencabar kesahihan pemilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen dan Perdana Menteri adalah suatu salah tafsir undang-undang yang serius.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh, Nik Saiful Adli Burhan menegaskan, bekas menteri berkenaan, P. Waytha Moorthy cuba merujuk kepada Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan bagi menyokong cabarannya itu.

Kata beliau yang juga seorang peguam, Perkara 48(1)(e) memang menyatakan seseorang hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara setahun atau lebih, atau denda tidak kurang RM2,000, melainkan telah diberi pengampunan.

“Inilah yang jelas berlaku dalam kes Anwar, yang mana Yang di-Pertuan Agong telah memberikan pengampunan penuh, sekali gus ianya membatalkan sebarang halangan kelayakan.

“Perkara 48 tidak boleh disalah tafsir dengan mencampur aduk Perkara 42. Perkara 42 berkaitan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong, manakala Perkara 48 adalah syarat kelayakan Ahli Parlimen. Kedua-duanya berasingan dan tidak wajar dimanipulasi demi agenda politik.

“Saya ingin menarik perhatian semua bahawa Perkara 48 tidaklah dibaca bersama dengan perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana masing-masing menceritakan perihal perkara yang berbeza,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan, P. Waytha yang juga peguam, memfailkan saman pemula bagi pengisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 2022, tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) itu memfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil, melalui Tetuan Karthig Shah dan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.

Mengulas lanjut, Nik Saiful Adli menjelaskan, Perkara 42, iaitu pengampunan oleh yang Di-pertuan Agong adalah di bawah Bab Ketiga berkenaan kuasa eksekutif baginda, manakala Perkara 48 adalah berkenaan syarat-syarat Ahli Parlimen di bawah Bab Keempat Perlembagaan Persekutuan berkenaan Badan Perundangan Persekutuan.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam & Intelek Kelantan berkata, kedua-duanya di bawah bab berbeza dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan, katanya, Perkara 48 bukan spesifik mengenai pengampunan, tetapi terpakai untuk semua individu yang disabitkan bersalah oleh mahkamah.

“Saya tidak faham bagaimana seorang yang terpelajar dalam bidang undang-undang boleh tersalah baca peruntukan undang-undang yang dengan jelas menyatakan Perkara 48(1)(e) ini ada pengecualiannya iaitu apabila telah diberi pengampunan.

“Yang kedua, apabila melibatkan keabsahan sesuatu pilihan raya, kaedah sepatutnya ialah melalui petisyen pilihan raya. Perbuatan memfailkan saman selepas tempoh yang lama hanyalah tindakan pemikiran terkemudian (afterthought) yang saya percaya didorong oleh pemikiran politik sempit.

“Menggunakan mahkamah untuk permainan politik, apatah lagi dengan tafsiran undang-undang yang salah, bukan sahaja mengelirukan rakyat, tetapi merosakkan kewibawaan institusi perundangan. Ini adalah langkah salah arah yang berbahaya,” ujarnya.

Beliau menasihatkan kepada yang dipilih oleh rakyat, mahupun tidak terpilih, sepatutnya bekerja untuk rakyat dan negara, bukan mencetuskan kekacauan.

“Jika mahu menjadi Perdana Menteri, tunggulah pilihan raya seterusnya. Ruang demokrasi Malaysia sentiasa terbuka setiap lima tahun,” katanya. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *