KOTA KINABALU: Permohonan untuk menggali semula kubur Zara Qairina Mahathir akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar hari ini, menurut peguam, Hamid Ismail.
“Kami kini dalam perjalanan ke IPD Papar. Selepas itu, proses penggalian semula akan dijalankan di Tanah Perkuburan Tanjung Hubi di Mesapol, Sipitang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini mengarahkan pihak berkuasa menggali semula kubur Allahyarham yang dikebumikan selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama.
Menurut AGC, tindakan itu antara beberapa arahan yang dikeluarkan pihaknya untuk siasatan secara menyeluruh dilakukan bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah itu.
Langkah itu bertujuan memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina.
AGC juga berpendapat, terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh setelah meneliti laporan penuh siasatan awal yang telah dikemukakan oleh PDRM berhubung kes kematian remaja.
Media sebelum ini melaporkan ibu Zara, Noraidah Lamat, 45, memohon kubur anaknya itu digali semula demi mendapat jawapan dan keadilan.
Isnin lalu, AGC memaklumkan menerima laporan penuh siasatan awal berhubung kes itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat AGC di Putrajaya. Bagaimanapun, AGC menyerahkan semula laporan penuh siasatan awal kepada polis untuk melengkapkan siasatan.
Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar itu dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama dan ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang pada jam 4 pagi 16 Julai lalu.
Dia disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu.
Pada 31 Julai lalu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memaklumkan pihak polis tidak menolak kemungkinan unsur buli terbabit dalam kejadian berkenaan. – Lapor Ersie Enjumin Berita Harian
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
