Oleh: Hairul Wildan Haroun
KUALA LUMPUR – Peguam CLJ, Nadia Aziz menggesa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meletakkan jawatan berikutan kegagalannya mengurus dan memberikan respon sewajarnya terhadap tragedi kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Menurut beliau, tindakan menteri itu yang dilihat memihak kepada pihak sekolah dan secara tidak langsung kepada pelajar yang didakwa terlibat dalam kes pembunuhan tersebut, telah mencetuskan kemarahan rakyat serta menjejaskan keyakinan umum terhadap kementeriannya.
“Dalam isu ini, beliau sepatutnya mengutamakan keadilan, menyatakan rasa kesal dan memberi jaminan tindakan tegas akan diambil bagi melindungi keselamatan pelajar.
“Sebaliknya, tindakan beliau dilihat lebih kepada menyekat suara rakyat serta mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mendedahkan maklumat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Khamis lalu, KPM telah mengambil langkah tegas dengan membuat lebih 10 laporan polis berhubung penyebaran kandungan video dan tulisan di media sosial yang mengaitkan kematian pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Sabah itu secara tidak bertanggungjawab.
Laporan tersebut difailkan di Putrajaya atas nasihat Bahagian Undang-Undang kementerian, manakala beberapa lagi dibuat di Sabah oleh guru serta ibu bapa pelajar yang didakwa terlibat berdasarkan penyebaran maklumat peribadi mereka.
Fadhlina dilaporkan menjelaskan, penyebaran maklumat tidak sahih yang mengaitkan pelajar dan guru sekolah itu menimbulkan keresahan dan boleh mengundang risiko keselamatan.
Nadia turut menegaskan, kes itu melibatkan nyawa seorang pelajar berusia 13 tahun yang berpotensi menjadi aset negara dan berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di bawah seliaan penuh kerajaan, yang sepatutnya memiliki tahap disiplin dan kawalan tertinggi.
Katanya, kegagalan mengurus isu itu dengan telus dan profesional bukan sahaja menjejaskan kualiti pendidikan negara, malah berpotensi menggugat keharmonian negara.
“Kes ini adalah kemuncak kepada kegagalan pentadbiran Madani dalam menangani isu kritikal. Menteri Pendidikan mesti bertanggungjawab.
“Demi maruah institusi pendidikan dan keadilan untuk arwah Zara Qairina, Fadhlina perlu meletakkan jawatan,” tegasnya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
