WASHINGTON: Amalan keselamatan yang lemah, usaha mengelak pemantauan dan budaya kerja toksik dikenal pasti antara punca tragedi kapal selam Titan meletup pada Jun 2023 sehingga mengorbankan lima orang termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pengendali, OceanGate.
Menurut laporan siasatan akhir oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat (US Coast Guard) yang didedahkan semalam menyifatkan insiden itu boleh dielakkan kerana ia berpunca daripada kegagalan syarikat pengendali itu sendiri terutamanya dalam aspek keselamatan.
Ketika nahas, kapal selam Titan menjalankan misi komersial bagi meneroka bangkai kapal Titanic namun ia dilaporkan hilang di Lautan Atlantik.
Operasi mencari dan menyelamat itu mendapat liputan yang meluas sebelum ia disahkan meletup beberapa hari selepas kehilangannya dilaporkan.
Laporan setebal lebih 300 muka surat itu adalah hasil siasatan selama dua tahun dan mendapati syarikat OceanGate dan ketua pegawai eksekutifnya (CEO), Stockton Rush, cuai dan gagal memastikan keselamatan operasi.
Pengerusi Lembaga Siasatan Maritim US Coast Guard, Jason Neubauer, berkata insiden yang meragut lima nyawa itu tidak seharusnya berlaku.
Berdasarkan keterangan individu yang disoal siasat termasuk bekas kakitangan, laporan itu menunjukkan budaya kerja di OceanGate dipenuhi ugutan pemecatan dan penghinaan terhadap mereka yang menyuarakan kebimbangan mengenai aspek keselamatan.
Keadaan ini mewujudkan budaya memperkecilkan, mengabaikan malah memalsukan maklumat keselamatan penting demi menjaga imej syarikat dan mengelak perhatian pihak berkuasa.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Budaya keselamatan toksik OceanGate, struktur korporat serta amalan operasinya dikenal pasti amat lemah. Teras kepada kegagalan ini ialah jurang besar antara protokol keselamatan bertulis dan amalan sebenar syarikat.
“Selama beberapa tahun sebelum insiden, OceanGate menggunakan taktik intimidasi, kelonggaran dalam operasi saintifik serta reputasi baik syarikat bagi mengelak daripada diawasi pihak berkuasa,” katanya dalam laporan terbabit.
Penyelenggaraan Titan tak memadai
Siasatan turut mendapati aspek reka bentuk, pensijilan, penyelenggaraan dan pemeriksaan kapal selam Titan adalah tidak mencukupi.
Menurut keterangan saksi, Rush kerap mengabaikan protokol yang ditetapkan serta tidak mengendahkan kebimbangan kakitangan dan kontraktor berpengalaman.
Menurut laporan, pekerja OceanGate yang menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan namun mereka sering diberi amaran, dihina dan diugut untuk dibuang kerja. Syarikat juga dilapor sering mengabaikan atau memalsukan maklumat keselamatan demi menjaga reputasi.
“OceanGate bukan saja gagal mematuhi protokol keselamatan, malah mewujudkan budaya kerja yang menekan dan tidak selamat.
“Pekerja mendakwa Rush sering mengetepikan prosedur yang ditetapkan dan tidak mempedulikan pandangan pakar.
“Laporan turut mendedahkan kapal selam Titan disimpan di luar bangunan ketika musim sejuk di Kanada tanpa perlindungan, mendedahkannya kepada salji dan suhu beku yang boleh melemahkan struktur kapal,” menurut laporan berkenaan.
CEO OceanGate cuai
Siasatan itu menyimpulkan bahawa Rush cuai dan bertanggungjawab secara langsung terhadap kematian empat penumpang lain. Sekiranya beliau terselamat, beliau mungkin berdepan tindakan undang-undang oleh Jabatan Kehakiman AS.
Antara yang terkorban ialah peneroka laut Perancis, Paul-Henri Nargeolet; pengembara Britain, Hamish Harding; ahli perniagaan British-Pakistan, Shahzada Dawood dan anaknya, Suleman, 19 tahun.
Syarikat OceanGate kemudiannya menghentikan semua operasi dan hanya memberi tumpuan untuk membantu siasatan. Wakil syarikat dalam kenyataan berkata, mereka sekali lagi mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Keluarga Nargeolet sebelum ini memfailkan saman kematian cuai bernilai lebih AS$50 juta (RM235 juta) terhadap OceanGate dan mendakwa syarikat itu menyembunyikan masalah sebenar mengenai keadaan kapal selam berkenaan.
Sementara itu, keluarga Dawood berharap tragedi itu akan menjadi titik perubahan penting dalam industri kapal selam.
“Tiada apa yang mampu menggantikan kehilangan ini. Tetapi jika legasi Shahzada dan Suleman dapat membawa perubahan dari segi undang-undang keselamatan, sekurang-kurangnya ia memberi sedikit ketenangan buat kami,” kata kenyataan mereka.
Neubauer turut menyuarakan keperluan supaya pemantauan lebih ketat dikenakan terhadap syarikat yang menjalankan eksplorasi laut dalam, terutama yang menggunakan teknologi di luar kerangka undang-undang sedia ada. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
