Hukuman mati: Mahkamah Singapura tangguh keputusan permohonan pasca rayuan Pannir Selvam

SINGAPURA – Banduan rakyat Malaysia yang dihukum mati, Pannir Selvam Pranthaman, mendapat penangguhan hukuman apabila Mahkamah Rayuan Singapura menangguhkan keputusan berhubung permohonan pasca rayuannya selepas prosiding pendengaran kedua diadakan, semalam.

Dalam prosiding itu, dasar Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura (MHA) berkaitan penjadualan pelaksanaan hukuman mati, menjadi fokus perbahasan apabila peguam mewakili Pannir Selvam dan pihak Peguam Negara membentangkan kandungan afidavit dikemukakan mereka selepas pendengaran pertama pada 7 Mei lalu.

Pada pendengaran awal, mahkamah mendapati permintaan Pannir Selvam untuk penangguhan pelaksanaan hukuman – sementara menunggu penyelesaian prosiding tatatertib berikutan aduannya kepada Persatuan Undang-Undang – adalah berdasarkan prinsip bahawa dasar MHA itu mesti dilaksanakan secara saksama kepada semua pihak.

Peguam Pannir Selvam berhujah bahawa dasar MHA yang dikenakan terhadap anak guamnya berbeza daripada dasar terdahulu, sekali gus melanggar hak untuk mendapat layanan sama rata bawah Perkara 12 Perlembagaan.

Mengenai perkara itu, Ketua Hakim, Sundaresh Menon, yang mengetuai panel lima hakim berkata Perkara 12 tidak menghalang sesebuah agensi kerajaan daripada mengubah dasar sedia ada.

“Perkara 12 diguna pakai dengan meneliti undang-undang, statut atau dasar semasa, dan tanya diri anda sama ada dasar itu dilaksanakan dengan cara yang mendiskriminasi secara tidak adil,” katanya.

Peguam Pannir Selvam berhujah lagi bahawa MHA tidak memberi sebarang penjelasan berhubung perbezaan penggunaan dasar antara prosiding dibawa kerajaan dengan yang dibawa oleh pihak bukan kerajaan.

Pasukan pembelaan berhujah MHA telah mengubah pendekatannya dalam mempertahankan nyawa seorang banduan, beralih daripada mempertimbangkan sama ada keterangan banduan mungkin diperlukan dalam mana-mana prosiding, kepada hanya mempertimbangkan jika keterangan itu diperlukan dalam prosiding yang dimulakan oleh kerajaan.

“Tiada alasan diberikan oleh MHA mengapa perbezaan layanan antara prosiding kerajaan dengan bukan kerajaan ini dianggap munasabah,” kata peguam, Ng Yuan Siang.

Sebagai respons, Timbalan Peguam Kanan Negara, Terrence Chua, berkata perbezaan itu wujud kerana prosiding yang dibawa oleh kerajaan dari segi takrifan, adalah untuk kepentingan awam.

“Ia melangkaui kepentingan peribadi banduan yang menunggu hukuman mati (PACP), sedangkan banduan itu tidak boleh mendakwa permohonannya mewakili kepentingan awam.

“Namun, saya nyatakan dalam afidavit bahawa permohonan kerajaan tetap dinilai berdasarkan kes demi kes,” katanya.

Mahkamah menjelaskan bahawa jika pemohon boleh menunjukkan dasar itu menyebabkan kepada perbezaan tidak adil antara dua kategori individu yang tiada perbezaan yang rasional, dia mungkin boleh memperoleh satu dapatan bahawa dasar berkenaan melanggar Perkara 12.

Prosiding yang berlangsung lebih sejam itu berakhir dengan Ketua Hakim Menon memaklumkan bahawa mahkamah akan menangguhkan keputusan.

Pannir Selvam yang memakai pakaian penjara berwarna ungu, dilihat tenang sepanjang prosiding dalam kamar mahkamah yang padat dan turut dihadiri adik-beradiknya dari Malaysia.

Pendengaran itu merupakan perkembangan terkini dalam usaha berterusan Pannir Selvam untuk mencabar hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya.

Pannir Selvam disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 2 Mei 2017 atas kesalahan menyeludup tidak kurang daripada 51.84 gram diamorfin, dan dihukum mati mandatori.

Dia mengemukakan rayuan tetapi ditolak Mahkamah Rayuan pada 9 Februari 2018.

Bersama keluarga dan pasukan guamannya, dia turut memohon kepada Presiden Singapura supaya hukumannya diringankan tetapi ditolak.

Pannir Selvam kemudian dimaklumkan bahawa hukuman matinya akan dilaksanakan pada 24 Mei 2019.

Namun, dia mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman atas alasan ingin mencabar penolakan petisyen pengampunan serta keputusan Pendakwa Raya untuk tidak mengeluarkan Sijil Bantuan Substantif (CSA).

Mahkamah membenarkan permohonan itu pada 23 Mei 2019 dan sejak itu, beliau telah mengemukakan beberapa lagi permohonan semakan kehakiman.

Pada 16 Februari 2025, dia menerima satu lagi notis pelaksanaan hukuman bagi tarikh 20 Februari, sebelum mengemukakan permohonan untuk membuat Permohonan Pasca Rayuan dalam Kes Hukuman Mati (PACC), yang dibenarkan pada 19 Februari.

Dalam penghakimannya, Hakim Bahagian Rayuan, Woo Bih Li, berkata penangguhan diberikan sementara menunggu keputusan terhadap permohonan PACC.

Akta PACC Singapura yang berkuat kuasa pada 28 Jun 2024 membenarkan banduan yang menunggu hukuman mati, mengemukakan permohonan pasca rayuan yang hanya boleh didengar oleh Mahkamah Rayuan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *