KUALA TERENGGANU – Selepas terapung kira-kira 43 jam di laut, seorang lagi mangsa kapal layar karam pada Rabu lalu, ditemui selamat di perairan Pulau Yu dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata mangsa kedua yang juga warga Turkiye itu dijumpai bot nelayan di kedudukan kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Yu, dekat sini.
Katanya, Ahmet Volkan Ata, 52, kemudian diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) sekitar 9.45 malam tadi.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke jeti PPM, Kuala Terengganu, dan kini berada dirawat di Zon Kuning Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
“Mangsa dilaporkan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun akan menjalani pemeriksaan lanjut pada bahagian dalaman badan berikutan berada lama dalam laut.
“Dengan perkembangan terbaru ini, dua mangsa terselamat, manakala seorang lagi dikenali sebagai Eser Demairokol, 53, masih hilang akibat kejadian itu,” katanya.
Pada 30 Julai lalu, kapal layar bernama Daisy yang dinaiki tiga warga Turkiye berkenaan, dilaporkan karam kira-kira jam 2.30 pagi selepas dibadai ribut.
Kapal layar itu dikatakan dalam pelayaran pulang dalam siri jelajah mengelilingi benua dari Malaysia ke Turkiye.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001