SUBANG JAYA – Mayat wanita yang dijumpai di bawah jambatan Sungai Klang berhampiran Jalan Jurutera di Puchong dekat sini, kelmarin disahkan sebagai penuntut kolej yang dilaporkan hilang Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, berkata siasatan mendapati satu laporan orang hilang diterima membabitkan seorang wanita berusia 23 tahun.
“Pengadu iaitu kakak si mati membuat laporan polis pada 26 Julai lalu.
“Berdasarkan laporan, pengadu diminta oleh adiknya untuk menjemput dia di Stesen LRT Putra Height pada 12 tengah hari, 25 Julai lalu. Namun adiknya itu tidak dapat dihubungi sehingga 2 petang keesokan hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, polis kemudian menerima maklumat mengenai penemuan mayat dan pemeriksaan menjumpai kunci di dalam poket seluar.
Menurutnya, polis membuat pemeriksaan rumah yang dipercayai tempat tinggal si mati di Jalan Klang Lama, dekat sini, dengan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga mendapati si mati berada di kawasan berkenaan sebelum dilaporkan hilang.
“Waris dipanggil untuk membuat pengecaman dan mengesahkan pakaian yang dipakai adalah milik wanita itu.
“Cap jari si mati juga dihantar ke makmal untuk pengesahan identiti sebelum (mayat) diserahkan kepada waris,” katanya.
Wan Azlan berkata, proses bedah siasat sudah dijalankan di Hospital Serdang kira-kira jam 8 pagi semalam, namun laporan penuh belum diperoleh.
“Pemeriksaan tubuh badan si mati mendapati tiada sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa identiti di bawah jambatan Jalan Jurutera Batu 13 di Puchong, di sini, menggemparkan penduduk.
Mayat dijumpai dalam keadaan tertiarap di atas batu dan pemeriksaan di lokasi tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001