Guru besar maut dalam nahas jalan raya

KUANTAN – Seorang guru besar maut dalam nahas jalan raya selepas kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum terbabas di jalan utama berhampiran Sekolah Kebangsaan Guai di Bera semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, dalam insiden pada kira-kira jam 6.30 petang itu, Mohd Sabri Bakar, 59, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Hijau di Jerantut dan beralamat di Temerloh, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian Mohd Sabri dalam perjalanan ke rumah abangnya di Kampung Guai dan semasa tiba di lokasi kemalangan, mangsa dipercayai telah hilang kawalan serta terbabas ke bahu jalan.

“Mangsa telah dikeluarkan orang awam daripada kereta terbabit sebelum kenderaannya terbakar 80 peratus akibat kemalangan itu,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Dalam kes berasingan, Zulkiflee berkata, seorang lelaki warga emas maut dipercayai dihempap pokok ketika menunggang motosikal di Kilometer 34, Jalan Kuala Bera-Chenor dan pihaknya menerima maklumat mengenai insiden yang menimpa Kamar Seman, 65, pada 7 malam.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar Hospital Bera untuk bedah siasat. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *