Ditawar TPM: Maaf, Pas tidak jual maruah demi jawatan – Idris

KUALA LUMPUR – Pas membidas cadangan seorang pemimpin kanan PKR yang menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada mereka jika mahu menyertai kerajaan perpaduan.

Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad berkata, ada dua kemungkinan mengapa anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Maszlee Malik membuat cadangan tersebut.

Pertama, kata Idris, bekas menteri itu sedang bermimpi, atau kedua – sengaja membangkitkannya untuk mengalih perhatian kepada masalah dialami kerajaan.

Menurut Idris, PN yang bermesyuarat pada 25 Julai lalu jelas berpendirian yang mereka tidak akan “bersekongkol” dengan kerajaan, manakala Pas pula “tidak lapar jawatan”.

Pada masa sama, dakwanya, sambutan orang ramai terhadap himpunan ‘Turun Anwar’ pada Sabtu lalu memberi isyarat PN sedang mendapat sokongan ramai.

“Mesyuarat Majlis Tertinggi PN 25 Julai lalu jelas, tiada ruang untuk bersekongkol dengan puak yang sedang tenggelam dalam krisis kepercayaan rakyat.

“Pas tidak lapar jawatan, lebih-lebih lagi apabila jawatan itu datang dari ‘dapur’ yang sedang berasap dan ‘dapur’ sendiri pun tak terurus.

“Nak ajak Pas masuk kapal bocor, lepas tu hulur pelampung bernama TPM? Maaf, Pas tidak jual maruah demi jawatan,” katanya di media sosial.

PAS hargai Bersatu

Terdahulu Maszlee berkata, berdasarkan kenyataan Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin, parti itu dilihat tidak percaya kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Kata Maszlee, di mata Hashim, ada ramai pemimpin yang berkebolehan untuk menjadi Perdana Menteri, namun mereka hanya akan menamakan calon setelah mereka berkuasa.

“Seeloknya Pas bersama kerajaan perpaduan untuk menguatkan Perdana Menteri sedia ada, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, demi rakyat, negara dan ummah sedunia.

“Jika bersama kerajaan perpaduan, peluang wakil Pas untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri lebih cerah dan ini akan merancakkan pembangunan negara,” kata Maszlee kepada Malaysiakini.

Idris mendakwa, sambutan kira-kira 15,000 orang pada himpunan Turun Anwar sudah membuatkan kerajaan perpaduan “berpeluh dalam bilik mesyuarat”.

Justeru, katanya, Pas akan terus bergerak ke depan dan tidak perlukan sebarang “umpan jawatan” khususnya dari “kapal yang senget”.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyangkal dakwaan Pas tidak yakin kepada Muhyiddin dan Hamzah.

Dia yang juga Ahli Parlimen Machang mendakwa, Pas sendiri mencalonkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang ketika parti itu mempunyai lebih ramai wakil di Parlimen.

“Ini menunjukkan Pas menghargai nilai strategik Bersatu dalam PN,” katanya.

Tambah Wan Ahmad Fayhsal, tidak strategik Pas meninggalkan Bersatu semata-mata untuk mendapatkan jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada Anwar.

“Jadi, untuk Pas tinggalkan Bersatu sekadar nak jadi Timbalan Perdana Menteri, maknanya Pas sedang membakar akar umbi dan pengundi mereka sendiri – yang menjadi tindakan bodoh buat masa ini.

“Kalau Pas nak tinggalkan PN, ia mestilah dibuat dengan keputusan kolektif, bukan hanya satu parti,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *