Dua tokoh akademik USIM disunting UESSB

Oleh Rudysham Abdul Raof

DALAM memantapkan lagi kedudukan di peringkat nasional dan global, Usim Education and Skills Development Sdn. Bhd. (UESSB) terus mengorak langkah apabila menyunting dua tokoh akademik berwibawa bagi memantapkan lagi anak syarikat milik penuh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke tahap memberangsangkan.

Bekas Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Prof. Dr. Mohd Yahaya Mohd Ariffin dilantik selaku Ketua Perunding UESSB berkuatkuasa 28 Julai 2025 selama dua tahun dan Pensyarah Kanan FKP yang juga Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Perkhidmatan) Institut Sains Islam USIM, Dr. Farhana Sabri sebagai Kaunselor Bersekutu agensi itu bagi tempoh yang sama.

Pengerusi UESSB, Datuk Haizuan Rozali berkata, kepakaran kedua-dua tokoh itu amat ditagih demi memantapkan lagi keupayaan agensi USIM bergerak lebih pantas untuk menerokai bidang keilmuan dan perniagaan.

“Saya amat kenal kedua-dua tokoh ini kerana mereka bersama saya di USIM. Dr. Yahaya sudah lama dengan saya sama ada di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan USIM.

“Sememangnya dia tidak asing lagi kepada warga USIM kerana sebelum bersara Dr. Yahaya adalah Dekan di FKP dan sudah pasti hatinya tetap merindui untuk membantu universiti mencapai sasaran.

“Jadi, sudah pasti suntingan saya ke atas Dr. Yahaya amat tepat kerana pengaruhnya dalam bidang komunikasi tempatan dan antarabangsa boleh membantu Usim Education berkembang maju dalam program yang boleh membawa hasil kepada kita dan universiti amnya,” kata beliau yang juga Pendaftar USIM.

Begitu juga dengan Dr. Farhana, seorang tokoh muda yang begitu bersemangat untuk kukuhkan lagi kewibawaan USIM di mata masyarakat, terutama di peringkat lebih tinggi.

“Bidang Dr. Farhana adalah kaunseling dan banyak membantu USIM melahirkan pelajar cemerlang. Beliau juga banyak membantu melaksanakan aktiviti luaran untuk serlahkan lagi kedudukan universiti ini,” kata Haizuan.

Prof. Dr. Mohd Yahaya dilahirkan di Teluk Intan, Perak pada 29 April 1965. Beliau melanjutkan pengajiannya ke peringkat Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Sastera (Komunikasi) pada 1990 dan memasuki alam pekerjaan sebagai Pegawai Perhubungan Awam di UKM sejurus menamatkan pengajian.

Dalam kesibukan bertugas beliau turut melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di universiti sama dan berjaya menggenggam Ijazah Sarjana pada 1999. Pada 2001, beliau menamatkan perkhidmatan di UKM selepas ditawarkan sebagai pensyarah di Universiti Malaya (UM).

Berkhidmat sebagai pensyarah membuka peluang buat beliau mengembangkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) pada 2010. Sepanjang berkhidmat sebagai pensyarah, Dr. Mohd Yahaya memberi tumpuan kepada tugas hakiki dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan, di samping berkongsi ilmu dengan pihak industri.

Disebabkan Dr. Mohd Yahaya begitu aktif dalam bidang yang diceburinya, beliau kini dipilih sebagai Presiden Persatuan Pendidik Komunikasi Malaysia yang membabitkan lebih 200 tenaga pakar komunikasi di negara ini. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *